JOKIN (dua dari kiri) bersama Ezzaty, Fezrul dan Reen.
JOKIN (dua dari kiri) bersama Ezzaty, Fezrul dan Reen.
Oleh Wahi Aziz


Tiga pelakon utama filem Mirip ini mengakui pengalaman membintangi filem muzikal dan ngeri itu penat tapi menyeronok­kan.

Menurut Fezrul Khan, Reen Rahim dan Ezzaty Abdullah, karya ala filem Tamil dan Bollywood ini menghidangkan cabaran dan kerumitan ketika pembikinannya.

Fezrul berkata, penghasilan Mirip yang diarahkan pengarah dari India, Jokin jauh lebih hebat dan kompleks daripada kebiasaannya seperti dalam penggambaran membabitkan produksi tempatan.

“Saya membawa dua watak iaitu sebagai Nik, seorang seniman jalanan dan Irwan (ahli perniagaan). Bagi saya, itu sudah cukup mencabar.

“Penggambaran pula dilakukan pengarah dan kru produksi dari India yang lazim dengan penggambaran berskala besar. Amalan sama dilakukan pada filem ini.

“Mereka begitu menekankan ‘shot’, emosi dan setiap perincian hingga benda yang kita sangka remeh dirakam berkali-kali untuk mendapatkan hasil terbaik,” katanya.

Fezrul bersama barisan pelakon, penerbit dan tenaga kerja filem terbabit ditemui ketika majlis pelancaran trailer dan lagu runut bunyi Mirip di ibu negara, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Reen berkata, pengalaman sulung terbabit dalam produksi luar itu menguji kekuatan mental dan fizikal namun dia puas selepas menyelesaikan komitmen berkenaan.

“Penat memang penat tapi saya seronok dengan produksi ini. Walaupun pada awalnya, isu bahasa membuatkan saya kurang selesa dan takut-takut sebab loghat Tamil mereka agak tebal sehingga bahasa Inggeris yang digunakan susah nak difahami.

“Tapi lama-kelamaan kami jadi lebih rapat macam keluarga kerana pasukan produksi itu mempunyai hati yang besar. Saya boleh rasa keikhlasan hati mereka bekerja dengan pelakon Malaysia.

“Walaupun saya mengalami gatal-gatal dan ruam teruk sebab kulit saya sensitif bila berjemur bawah matahari terlalu lama, tapi ia pengalaman yang manis,” katanya.

Ezzaty berkata, pengalaman berlari di merata tempat selama tiga hari untuk sebuah babak yang hanya dipaparkan beberapa saat dalam filem itu memang melucukan.

“Saya tak boleh lupa babak itu. Saya sudah jadi macam apa dibuatnya apabila diarahkan berlari di merata tempat selama tiga hari.

“Penat tak payah cakaplah tapi saya penuhi dan sangkakan ia adalah babak besar rupanya hanya digunakan beberapa saat. Benda itu paling buat saya tergelak kalau diingatkan semula,” katanya.

Sementara itu, pengarahnya Jokin berkata, pengalaman bekerjasama dengan pelakon Malaysia dalam filem ini memudahkan kerjanya kerana bakat dimiliki mereka.

Ia akan ditayangkan di pawagam pada 5 November depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2015 @ 12:36 PM