YUNA bekerjasama dengan G-Eazy menerusi single terbaru berjudul Blank Marquee. FOTO Twitter Yuna
YUNA bekerjasama dengan G-Eazy menerusi single terbaru berjudul Blank Marquee. FOTO Twitter Yuna
Georgie Joseph


SELEPAS Usher, Yuna tampil bekerjasama pula dengan penyanyi rap Amerika Syarikat (AS), G-Eazy menerusi single terbaru berjudul Blank Marquee untuk pasaran antarabangsa.

Yuna, 33, terlebih dulu memberikan teka-teki di Twitter mengenai rakan kerjasamanya itu sebelum mengumumkan lagu itu turut menampilkan penyanyi terkenal dari AS berkenaan, semalam.

“Seseorang akan turut serta dengan saya dalam lagu ini. Kamu boleh teka siapa?,” tulisnya di Twitter.

Selepas mendedahkan G-Eazy sebagai rakan kerjasamanya, Yuna mendapat ucapan tahniah daripada rakan artis yang tumpang bangga dengan pencapaiannya itu.

Mereka termasuklah Henry Golding, Afgan, Daiyan Trisha dan ramai lagi. Tidak ketinggalan rakan artis dari luar negara turut mengucapkan tahniah selain peminat tempatan.

Terdahulu, Yuna yang berpangkalan di AS menempa nama di peringkat dunia apabila lagunya dengan Usher berjudul Crush menjadi hit.

Selepas itu, penyanyi kelahiran Subang Jaya terbabit turut mendapat perhatian selepas bekerjasama dengan kumpulan terkenal dari Korea Selatan, Epik High.

Ini adalah kerjasama kali kedua Yuna bersama G-Eazy di mana sebelum ini mereka pernah berkolaborasi menerusi lagu Lights and Camera.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2019 @ 4:42 PM