YUNA gembira dapat berbual dengan peminat Malaysia.
YUNA gembira dapat berbual dengan peminat Malaysia.
Georgie Joseph


Jadual ketat yang mengikat aktiviti hariannya kini sukar memberikan Yuna ruang pulang ke tanah air.

Selepas melancarkan album terbarunya Chapters, dia perlu menjayakan pelbagai persembahan dalam rangka promosi album itu.

Yuna atau nama penuhnya Yunalis Zarai, 29, pasti berbangga albumnya berjaya menduduki kedudukan terbaik kategori album di Carta Billboard.

Begitu juga lagu duetnya bersama bintang R&B Usher iaitu Crush.

Tidak mahu mengetepikan peminatnya di sini, baru-baru ini penyanyi berkenaan sempat berinteraksi dengan mereka menerusi video Skype. Pada acara Hangout With Yuna di Kota Damansara itu, peminat berpeluang bertanyakan beberapa soalan.

Pada sesi soal jawab itu, Yuna ternyata sangat gembira dapat menatap wajah peminat Malaysia walaupun dari jauh.

Demikian juga keterujaan peminat yang tidak putus-putus memberikan kata-kata sokongan kepadanya.

Antara soalan yang diajukan kepadanya ialah adakah dia bakal membuat persembahan di Sukan Olimpik Rio memandangkan dia turut terbabit menyanyikan lagu tema sukan berprestij itu.

“Saya masih tidak tahu pasal itu,” katanya.

Turut ditanya adalah perancangan Aidilfitri sama ada dalam bentuk kejutan atau tidak?

“Anda perlu tunggu dan terus ikuti perkembangan terbaru saya untuk mengetahui sebarang berita,” katanya.

Yuna mengakhiri perbualan itu dengan ucapan selamat berpuasa dan selamat hari raya kepada lebih 70 peminat yang hadir.

Dia turut mengambil kesempatan berterima kasih atas sokongan berterusan terhadap albumnya, Chapters.

Bukan sekadar dapat berbual dengan Yuna, pelbagai aktiviti juga dijalankan bagi mengisi acara pada hari berkenaan. Yang penting, peminat tidak pulang dengan tangan kosong dan menerima cenderahati daripada Yuna.

Tidak ketinggalan, di samping diperdengarkan lagu dalam Chapters, beberapa artis tempatan turut mempersembahkan lagu Yuna.

Antaranya, kumpulan vokal yang semakin mendapat perhatian sekarang iaitu Back2Basixx, Nik Qistina, Sid Murshid dan sensasi YouTube, Neesa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2016 @ 11:37 AM