SALAMIAH sentiasa bersenam dan berjalan setiap hari di kawasan perumahan. FOTO Arkib NSTP
SALAMIAH sentiasa bersenam dan berjalan setiap hari di kawasan perumahan. FOTO Arkib NSTP
Ramlah Zainal


“SAYA tidak berminat untuk melakukan pembedahan kosmetik atau botox untuk mengubah wajah supaya kekal awet muda.

“Memang ada pihak yang tawarkan untuk membuat pembedahan kosmetik dengan teknologi mesin terkini mereka tetapi saya menolaknya,” kata penyanyi veteran Salamiah Hassan ketika ditanya sama ada dia pernah melakukan pembedahan kosmetik di wajahnya sebelum ini.

Namun, kata Salamiah, 68, dia juga hanya menjalani rawatan kecantikan yang asas seperti ‘facial’ dan sebagainya di pusat klinik pakar kulit terkenal di ibu kota.

“Sebenarnya, saya sudah menjadi jurucakap untuk klinik pakar kulit terbabit sejak usia 46 tahun lagi.

“Doktor di pusat penjagaan kulit terbabit yang melakukan rawatan wajah dan kulit yang sesuai untuk saya tetapi bukanlah mengubah wajah ciptaan Allah,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya sama ada dia bimbang dengan kedutan di wajahnya seiring dengan peningkatan usia, Salamiah sebaliknya berasa bangga dengannya.

“Saya tidak bimbang meniti usia tua. Bagi saya, kedutan pada wajah melambangkan saya wanita yang bijaksana dan berpengalaman dalam menempuhi kehidupan.

“Jika artis lain mahu melakukan pembedahan kosmetik pada wajah terpulanglah pada mereka,” katanya.

Mengulas rahsia awet mudanya pula, katanya, dia sentiasa menjaga aspek pemakanan yang diambil.

“Saya lebih suka memasak sendiri di rumah dan hanya memastikan makanan berkhasiat diambil.

“Selain menjaga hubungan dengan Allah, saya juga melakukan senaman dengan berjalan setiap hari di kawasan perumahan dan mengelakkan tekanan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 4:12 PM