KUMPULAN Mafidz. FOTO: Aziah Azmee
KUMPULAN Mafidz. FOTO: Aziah Azmee
Georgie Joseph

GENRE muzik pop folk mungkin belum mesra telinga bagi pencinta muzik tempatan. Namun, band Mafidz yang dianggotai tiga beradik yakin genre itu dapat diterima ramai.

Ditubuhkan pada 2016, Megat Hafidz, 30, selaku vokalis, Megat Aizzat, 28, (vokalis dan cajon) serta Megat Fazly, 20, (vokalis dan gitar akustik) menyifatkan genre itu paling sesuai dengan mereka.

Bagaimanapun, bukan mudah untuk mereka membina nama apatah lagi segala kerja produksi dibuat sendiri. Mereka perlu bertatih dari bawah untuk menuai hasil terbaik dalam profil seni mereka.

“Kami mencari genre muzik yang sesuai untuk dinikmati sepanjang masa. Tidak dinafikan pop folk belum mesra telinga di sini tetapi ia sesuai dengan perkembangan muzik semasa.

“Awal pembabitan dulu memang susah kerana semua kena buat sendiri. Sekarang pun masih ada sukarnya

tetapi lebih menyeronokkan. Selepas puas berusaha, kami akhirnya dapat menghasilkan kualiti muzik seperti yang dibuat dalam studio rakaman secara profesional,” kata Aizzat.

Menurut tiga anak muda ini, mereka mahu mematahkan pandangan segelintir pihak bahawa muzik pop folk adalah karya berat. Mereka sudah membuktikan lapan lagu yang dimuatkan dalam album pertama berjudul Ada Angin & Hati adalah ringan.

“Lirik lagu kami tidak berat dan sederhana saja. Ramai pasti beranggapan muzik sebegini berat dan liriknya mendalam tapi sebenarnya tidak.

“Mungkin pada awal-awal lagu, ia kedengaran berat. Namun, sebenarnya setiap lirik kami tulis bawa mesej yang mudah difahami,” katanya.

Ketika berkarya, Mafidz percaya penting untuk memastikan lirik dan melodi bergerak seiring. Paling penting, lirik lagu mreka dapat dirasai pendengar dan dekat di hati.

“Kami percaya, lirik dan melodi saling bergantung dan sama penting. Cara kami berkarya adalah dengan mengambil inspirasi daripada peristiwa sebenar dan apa yang berlaku di sekeliling.

“Meskipun semua lagu ditulis Hafidz, kami sendiri dapat merasai apa yang dia cuba sampaikan. Semuanya rasa jujur dan sangat berkaitan dengan apa yang kami sendiri lalui,” katanya.

Kumpulan itu mengakui bekerja dengan darah daging ada cabaran tersendiri. Namun, ia dapat ditangani dengan bijak kerana masing-masing sudah matang.

“Zaman gaduh sudah kami lalui sejak kecil dan lama ditinggalkan di belakang. Sekarang kami lebih suka berbincang selain masing-masing ada pemikiran yang sama.

“Sebenarnya, apabila sampai satu masa, usia bukan lagi isu utama. Keserasian antara kami sebagai satu band sudah ada sejak menjayakan persembahan pada 2012,” katanya.

Dalam pada itu, Mafidz bersyukur apabila menjadi satu-satunya artis Malaysia dijemput ke acara International Indie Festival 2018 di Jakatra, Indonesia, tahun lalu.

“Kami bangga apabila menjadi wakil acara yang disertai lebih 30 negara itu. Alhamdulillah, jemputan itu antara pencapaian terbesar kami setakat ini,” katanya.

Berkongsi perkembangan terkini, Mafidz kini dalam rangka mempromosikan single pertama album Ada Angin & Hati yang berjudul Igauku.

“Buat masa ini, fokus kami tentunya mahu menembusi arus perdana. Kami juga berharap dapat beraksi di acara berskala besar tempatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2019 @ 5:00 AM