ZAINAL berkongsi gambar terkininya bersama rakan produksi, Abdullah Sidek Majin di set penggambaran program Jejak Adam. FOTO Ihsan Zainal Ariffin Ismail
ZAINAL berkongsi gambar terkininya bersama rakan produksi, Abdullah Sidek Majin di set penggambaran program Jejak Adam. FOTO Ihsan Zainal Ariffin Ismail
Amirul Haswendy Ashari


"TERIMA kasih kerana masih mengingati saya," kata bekas pengacara Misteri Nusantara, Zainal Ariffin Ismail selepas terkejut apabila ada pihak 'tersalah' menyebarkan berita kematiannya melalui perkongsian di beberapa kumpulan aplikasi WhatsApp sejak semalam.

Zainal ketika dihubungi, mendedahkan ketika ini dia sedang sibuk menjalani penggambaran rancangan bergenre majalah keagamaan di Sri Lanka dan India.

"Dalam perkongsian itu, mereka mendakwa saya meninggal dunia di Madinah padahal saya masih sihat dan sibuk di set penggambaran program Jejak Adam di sini.

"Saya difahamkan arwah yang meninggal dunia itu juga bernama Haji Zainal Ariffin dan mereka yang menyebarkan berita itu tersalah menggunakan wajah saya.

"Bezanya arwah yang meninggal dunia berbinkan Mohd Yusof, bukan Ismail," katanya.

Malah, Zainal sempat berkongsi dua foto terbaru bersama kru produksi menunjukkan dia sihat dan sibuk di set penggambaran program televisyen yang baru.

Imbas kembali, Zainal antara pembaca berita dan pengacara popular TV3 sejak awal 1990-an.

Antara rancangan yang pernah dikendalikan adalah Misteri Nusantara, Jejak Rasul dan terbaru, Da'i Pendakwah Milenia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2019 @ 3:42 PM