Ifa bersama Thalia Rohains (kanan) dan Bob. FOTO NAJIY J
Ifa bersama Thalia Rohains (kanan) dan Bob. FOTO NAJIY J
Najiy Jefri


PENYANYI dan pengacara, Ifa Raziah membuat laporan polis, hari ini berhubung laporan berbaur fitnah oleh personaliti dari Singapura, Roslan Shah yang mendakwa dia mengupah pembunuh upahan untuk menembaknya.

Menurut Ifa, tindakan pengacara itu secara tidak langsung memburukkan imejnya sebagai selebriti dan disifatkan tidak masuk akal.

"Saya kecewa apabila dia melabelkan saya sebagai penjenayah. Saya tidak pernah terlintas untuk mengupah, mencederakan atau mengancam nyawanya.

"Dalam setiap temubual bersama media pun saya hanya minta dia membuat permohonan maaf secara terbuka di atas kesalahannya.

"Apapun tuduhan dan laporan polis dibuat oleh Roslan di Johor Bahru, semalam yang mendakwa saya mengupah pembunuh untuk menembaknya adalah fitnah melampau," katanya.

Ifa ditemui selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, pada 6.30 petang, hari ini, ditemani oleh peguam peribadi, Thalia Rohaina Abdul Latiff dan pengurus artis yang didakwa sebagai pembunuh upahan bernama Bob.

Menurut Ifa, dia terkejut apabila sahabat dikenali hampir 21 tahun itu sanggup membuat tuduhan dan laporan palsu terhadapnya.

"Saya menyesal kenal manusia seperti ini. Apa motif dia sebenarnya? Adakah dia nak bunuh kerjaya seni yang saya bina selama ini?.

"Tindakannya juga boleh memusnahkan perniagaan serta mencemarkan imej saya sebagai selebriti," katanya.

Ifa berkata, jika sebelum ini Roslan tergamak menggelarnya seorang pelacur, tapi kali ini dia sanggup membuat laporan mendakwa saya sebagai penjenayah.

"Saya akan mengambil tindakan tegas dan pastikan dia menerima hukuman setimpal dengan setiap tindakan dibuatnya yang mengaibkan saya dan keluarga," katanya.

Roslan membuat laporan polis selepas Ifa memuat naik kandungan video secara langsung di akaun Instagram miliknya yang didakwa kononnya Ifa mengupah pembunuh upahan untuk menembaknya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2018 @ 9:05 PM