KATY Perry dan pelakon Orlando Bloom.
KATY Perry dan pelakon Orlando Bloom.
Susunan Michelle Gun

PASANGAN selebriti, penyanyi Katy Perry dan pelakon Orlando Bloom dikhabarkan sudah mengikat tali pertunangan pada Hari Kekasih, 14 Februari lalu.

Bintang siri Pirates of the Caribbean itu menghadiahkan cincin vintaj berbentuk bunga kepada Perry.

Penyanyi itu turut berkongsi swafoto bersama Bloom dengan menampakkan cincin tunang bernilai RM19.49 juta di jari tengahnya di Instagram.

Difahamkan, Bloom melamar Perry pada berkenaan. Dua hari kemudian, lebih banyak maklumat mengenai pertunangan mereka didedahkan.

Menurut portal People, hasrat pelakon itu mengikat pertunangan dengan Perry sudah lama disimpan.

Sumber memberitahu Bloom sudah lama merancang untuk melamar bakal isterinya dan mahu melakukannya dengan istimewa.

Malah, dia terlebih dulu bertemu ibu bapa Perry untuk meminta izin memperisterikan kekasihnya.

Menurut sumber itu, Perry terkejut dan menggigil kegembiraan sebaik dilamar Bloom.

“Pasangan berkenaan mahu menimang cahaya mata bersama dan akan mengutamakan hasrat itu,” katanya.

Sejak tiga tahun bercinta, Perry dan Bloom dikhabarkan pernah berputus, namun kembali bersama semula.

Khabar angin mereka keluar bersama bermula selepas dilihat bersama di parti Anugerah Golden Globes, Januari 2016.

Pada Mac 2017, timbul beberapa laporan mendakwa pasangan berkenaan sudah terputus hubungan sebelum kembali bercinta pada Februari tahun lalu.

Bloom pernah mendirikan rumah tangga dengan model Victoria Secret, Miranda Kerr dan mempunyai seorang cahaya mata bernama Flynn yang kini berusia lapan tahun.

Perry pula berkahwin dengan pelawak Russel Brand pada 2010, namun rumah tangga mereka cuma bertahan 14 bulan.

PERRY dikatakan terkejut dan menggigil kegembiraan sebaik dilamar Bloom.
PERRY dikatakan terkejut dan menggigil kegembiraan sebaik dilamar Bloom.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Februari 2019 @ 9:28 AM