HADIAH cincin berlian dari insan istimewa.
HADIAH cincin berlian dari insan istimewa.
Susunan Michelle Gun


Teka-teki mengenai pertunangan Kylie Jenner dengan penyanyi rap Tyga akhirnya terjawab apabila selebriti program realiti itu menjelaskan keadaan sebenar di laman sosial.

Jumaat lalu, Kylie, 18, berkongsi gambar cincin berlian besar di jari manis kanannya di laman Instagram, sekali gus seolah-olah menandakan dia dilamar Tyga.

Bagaimanapun, model itu menafikan sudah bertunang sebaliknya memberitahu cincin berkenaan adalah hadiah daripada insan istimewa.

Kata usahawan produk solekan itu, sambutan Hari Natal kali ini lebih bermakna dengan pemberian hadiah istimewa daripada insan tersayang.

“Setiap tahun, ibu akan menganjurkan parti Hari Natal yang meriah dan sambutan kali ini memang menyeronokkan.

“Sungguh istimewa dapat meraikan penghujung tahun ini bersama keluarga dan rakan-rakan. Pada masa sama, hadiah istimewa daripada seseorang yang istimewa dan saya juga belum bertunang,” katanya.

Ini bukan kali pertama khabar angin Kylie dan Tyga bertunang tersebar. Tahun ini saja, selebriti remaja itu terpaksa berdepan gosip terbabit sebanyak empat kali.

Khabar angin mengenai pertunangan pasangan itu mula timbul tahun lalu selepas Kylie dikatakan mendedahkan kepada media hasrat untuk berkahwin dengan Tyga.

Dalam perkembangan lain, sempena sambutan Hari Natal, Kylie menyumbang barang keperluan kepada pusat kebajikan untuk golongan remaja di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Biarpun sumbangan itu tidak diuar-uarkan kepada media, pusat terbabit berkongsi perkara itu di laman sosial Twitter.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2015 @ 8:14 AM