ANTARA barisan artis, Dayang Nurfaizah, Ayda Jebat, Hazama, The Penglipulara, Haqiem Rusli, Tomok, Black dan lain-lain layak ke Muzik Muzik Separuh Akhir pada sidang media Muzik Muzik Separuh Akhir di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. FOTO Sairien Nafis
ANTARA barisan artis, Dayang Nurfaizah, Ayda Jebat, Hazama, The Penglipulara, Haqiem Rusli, Tomok, Black dan lain-lain layak ke Muzik Muzik Separuh Akhir pada sidang media Muzik Muzik Separuh Akhir di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. FOTO Sairien Nafis
Syafil Syazwan Jefri


Separuh akhir Muzik Muzik ke-32 (MM32) tahun ini menyaksikan penguasaan penyanyi-penyanyi generasi baru antaranya Haqiem Rusli, Wany Hasrita, Hael Husaini, Sufi Rashid, Aiman Tino, Ismail Izzani dan ramai lagi.

Penerbit Eksekutif MM32, Nurhul Huda Khalid berkata, perkara itu berlaku kerana lagu-lagu mereka yang mendominasi carta radio sejak awal tahun ini.

"Jika melihat rentak industri muzik tanah air hari ini, lagu-lagu merekalah yang mendominasi carta sekali gus mendapat tempat dalam kalangan pendengar.

"Bukan saja di stesen radio, malah di YouTube dan seluruh pasaran muzik," katanya dalam sidang media Separuh Akhir MM32 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, hari ini.

Bagaimanapun, penyertaan daripada penyanyi senior tidak kurang hebatnya seperti Dayang Nurfaizah, Siti Nordiana, Akim & The Majistret dan Hazama.

"Jadi, dengan adanya penyertaan penyanyi senior dan junior menjadikan pentas separuh akhir ini lebih seimbang," katanya.

Separuh akhir MM32 kali ini mempertaruhkan 30 lagu yang dipilih juri profesional dan bakal bersaing merebut 12 tempat untuk ke Anugerah Juara Lagu yang dijangka berlangsung Februari tahun depan.

Daripada jumlah itu, lima daripadanya iaitu Lebih Sempurna nyanyian Syamel, Segalanya (Haqiem Rusli), Warkah Untukku (Ara Johari), Jampi (Hael Husaini) dan Tergantung Sepi (Haqiem Rusli) dipilih selepas layak di sesi 'wildcard' di acara 'showcase' MM32.

Separuh akhir MM32 akan berlangsung selama tiga minggu bermula Ahad ini hingga 12 November dan diacarakan Sherry Alhadad dan Hefny Sahad.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2017 @ 6:46 PM