ABDUL Halim (baju merah) bersama barisan peserta musim kedua. FOTO Nurul Shafina Jemenon
ABDUL Halim (baju merah) bersama barisan peserta musim kedua. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Amirul Haswendy Ashari

PADA musim pertama lalu, program realiti mencari mutawif umrah dan haji, Manhajj Mutawwif yang bersiaran di Astro Oasis ditonton tiga juta penonton.

Penerbit eksekutif program itu, Abdul Halim Ikhsan berkata, untuk musim kedua ini, mereka optimis menyasarkan lebih enam juta tontonan.

“Berbanding musim lalu, musim ini menonjolkan sudut ilmu kecekapan mutawif mengurus dan mengatasi isu berkaitan jemaah di Makkah dan Madinah.

“Malah, kami turut memperluaskan pencarian ke beberapa negara lain antaranya Indonesia, Singapura dan Brunei,” katanya.

Musim kedua juga berbeza kerana wujudnya aplikasi khas yang dikenali Manhajj Apps yang memudahkan jemaah akan datang memperoleh ilmu berkaitan ibadat itu.

Malah, aplikasi itu juga mempunyai butang panik bagi memudahkan jemaah yang berdepan masalah ‘hilang arah’ ketika berada di Tanah Suci mendapatkan bantuan.

Selain itu, aplikasi itu juga menyediakan kuiz berkaitan program itu sebaik saja episod pertama bersiaran pada 26 Januari ini.

“Dari segi kandungan program ini pula, musim ini kita ada pelakon yang mewakili jemaah daripada pelbagai latar belakang. Ada jemaah orang kurang upaya, VIP, pertama kali melakukan ibadah umrah dan sebagainya.

“Pelakon ini akan melakonkan sketsa pendek mengenai isu yang wujud ketika jemaah mahu melakukan umrah atau haji.

“Watak ini dipersembahkan kepada penonton supaya kandungan musim ini lebih menarik dan mencabar berbanding musim lalu malah ada antara isu dan soalan dilontar watak sangat mencabar peserta” katanya.

Antara pelakon yang terbabit dalam sketsa setiap episod ialah Amy Mastura, Ropie Cecupak, Ebby Yus dan Kamarool Yusof.

Menyentuh mengenai pemilihan topik setiap episod, Abdul Halim berkata ia ditentukan pihak produksi.

Katanya, kandungan yang dipilih dikumpul daripada mutawif berpengalaman sebelum ini.

“Saya sendiri seorang mutawif dan sudah mengurus ribuan jemaah. Macam-macam cerita, pengalaman, cabaran dan isu tersendiri sudah saya temui bersama jemaah umrah dan haji.

“Setiap peserta akan dapat isu secara rawak dan mereka hanya diberi masa sehari saja untuk buat kajian serta mengulas dalam tempoh lima minit apabila berada di pentas,” katanya.

PELAKON popular tempatan beraksi bersama peserta pada segmen sketsa. FOTO Nurul Shafina Jemenon
PELAKON popular tempatan beraksi bersama peserta pada segmen sketsa. FOTO Nurul Shafina Jemenon

Malah ketika sketsa, pelakon yang memegang watak masing-masing akan ‘mengganggu’ peserta dengan bertanya pelbagai soalan yang tidak dijangka.

Oleh itu, setiap peserta perlu menjawab setiap persoalan yang dilontarkan mereka dengan cepat dan lengkap.

Musim kedua ini juga menyaksikan pelantikan Sharifah Shahirah sebagai pengacara bersama menggantikan Shuib Sepahtu yang bergandingan dengan Amin Idris pada musim lalu.

“Saya berharap mesej yang cuba disampaikan dalam musim kedua ini sampai kepada penonton terutama dengan adanya aplikasi yang lebih interaktif.

“Program musim kedua ini juga mahu melihat setiap peserta bukan saja pandai membawa jemaah ke Makkah atau Madinah tetapi lebih versatil dan boleh pergi global sebagai pemandu pelancong mesra Muslim,” katanya.

Abdul Halim juga mempunyai perancangan untuk meneruskan program ini sekurang-kurangnya selama enam musim atau lebih pada masa depan.

Malah, biarpun untuk dua musim ini dibuat secara rakaman awal, pihaknya merancang melakukan secara langsung pada musim depan bergantung kepada tajaan.

Katanya, jika ada tajaan yang tinggi tidak mustahil program ini akan dibuat secara langsung seperti kebanyakan program realiti lain.

Dia akui disebabkan pelbagai kelainan serta pembaharuan pada musim ini, pihak produksi sanggup melabur sehingga RM6 juta.

“Jumlah itu termasuk ‘air time’ di beberapa saluran utama program bersiaran antaranya Astro Oasis, Astro Oasis HD, Zayyan FM dan aplikasi Manhajj Apps.

“Disebabkan itu juga kami menyasarkan penonton musim ini lebih besar,” katanya.

Manhajj Mutawwif musim kedua menyaksikan lapan peserta dari tiga negara dan berbeza latar belakang bertanding merebut hadiah lumayan berupa wang tunai RM100,000 beserta pakej umrah.

Mereka ialah Akmal Maarof (Selangor), Muadz Mohd Isa (Melaka), Mohamad Shazni Khir Bahari (Johor), Muhamad Zulfadhli Razali (Aceh, Indonesia), Adi Asmat Lamat (Brunei), Muhammad Fauzi Tumin (Melaka), Muhammad An-Naim Yasim (Puchong) dan Muhammad Hazwan Padzil (Kelantan).

Setiap peserta dibimbing tenaga pengajar berpengalaman dalam bidang masing-masing yakni Ustaz Shafie selaku tenaga pengajar dan pembimbing haji dan umrah, Que Haidar selaku tenaga pengajar seni pementasan pentas dan Abdul Halim pula sebagai ketua tenaga pengajar.

Setiap episod, juri tetap ialah Ustaz Noor Effendi Hamid manakala juri jemputan terdiri daripada agamawan terkenal antaranya Ustaz Zafiri, Ustaz Akhil Hayy, Profesor Muhaya, Ustaz Don dan Dr Zaharudin.

Artis tempatan yang dijemput sebagai juri pula antaranya Waris, Mawi, Nabil Ahmad, Hanis Zalikha, Altimet, Shamsul Yusof dan Afdlin Shauki.

Manhajj Mutawwif adalah program realiti berunsur dakwah fokus kepada kerjaya mutawif yang bertanggungjawab dalam mengurus jemaah haji dan umrah di Tanah Suci.

Episod pertama program yang bersiaran sebanyak lapan episod selama satu jam itu bermula 26 Januari ini di saluran Astro Oasis.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Februari 2019 @ 9:51 AM