Siti Sarah rindu jejak kaki semula ke Tanah Suci. FOTO KHAIRUL AZHAR AHMAD
Siti Sarah rindu jejak kaki semula ke Tanah Suci. FOTO KHAIRUL AZHAR AHMAD
Siti Sarah bersama suaminya, Shuib akan tunai umrah bulan depan. FOTO KHAIRUL AZHAR AHMAD
Siti Sarah bersama suaminya, Shuib akan tunai umrah bulan depan. FOTO KHAIRUL AZHAR AHMAD
Ramlah Zainal


“MUNGKIN orang lain memilih untuk bercuti ke London dan sebagainya tetapi saya pula sangat merindui untuk menjejakkan kaki semula ke Tanah Suci Makkah.

“Terus terang, kalau Allah SWT izinkan, saya mahu menunaikan ibadah umrah setahun 18 kali pun boleh,” kata penyanyi terkenal Siti Sarah Raissuddin mengulas pengalamannya ketika mengerjakan umrah sebelum ini.

Menurut Sarah, 33, sukar untuk digambarkan perasaannya ketika menunaikan ibadah umrah bersama suaminya, Shuib sebelum ini.

“Walaupun sudah dua kali menunaikan ibadah umrah, saya tetap merindui suasana di sana.

“Semua tekanan kerja yang dirasai di sini akan hilang sebaik saja kita berada di sana.

“Saya juga merindui harumnya bau kasturi ketika pencuci mencuci lantai dekat tepi Kaabah,” katanya ditemui pada majlis pelancaran aplikasi Manhajj dan Manhajj Mutawwif musim kedua di Shah Alam, semalam.

Mengulas perancangan terbaru menunaikan umrah pula, kata Sarah, dia akan berangkat ke Tanah Suci Makkah untuk menunaikan ibadah umrah buat kali ketiga pada 14 November ini selama dua minggu.

“Ia ibadah umrah kedua buat suami. Kami juga akan ditemani ibu mentua untuk bersama-sama dalam ibadah umrah kali ini yang juga pada musim sejuk.

“Jika ada rezeki, suami juga merancang untuk kami menunaikan umrah setahun dua kali.

“Insya-Allah, jika diizinkan, kami juga merancang mahu menunaikan ibadat haji pula selepas ini,” katanya.

Kali pertama Sarah menjejakkan kaki ke Tanah Suci Makkah ialah kira-kira 13 tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Oktober 2018 @ 2:31 PM