ABDUL Halim (lima kiri) bersama peserta program Manhajj Mutawwif musim kedua. FOTO NURUL SHAFINA JEMENON
ABDUL Halim (lima kiri) bersama peserta program Manhajj Mutawwif musim kedua. FOTO NURUL SHAFINA JEMENON
Amirul Haswendy Ashari


DEMI mencapai sasaran penonton lebih meluas, penerbit program realiti Manhajj Mutawwif musim kedua mengambil langkah berani melabur sehingga RM6 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Manhajj Brothers Sdn Bhd Abdul Halim Ikhsan berkata, kos penerbitan program itu hampir sama dengan kos penerbitan pada musim pertama, tahun lalu.

"Kos ini termasuklah 'air time' di beberapa saluran utama program bersiaran antaranya Astro Oasis, Astro Oasis HD dan Zayyan FM.

"Malah tahun ini kami turut mewujudkan sebuah aplikasi khas dikenali Manhajj Apps yang boleh dimuat turun mulai 26 Januari depan," katanya.

Beliau yang juga Penerbit Eksekutif Manhajj Mutawwif musim ke-2 mengakui antara lain adalah program itu sudah mula melangkaui sempadan dengan pemilihan peserta daripada beberapa negara Asia.

Katanya, musim kedua ini lebih menonjolkan sudut ilmu dan kecekapan peserta mengatasi masalah jemaah di Makkah dan Madinah.

"Disebabkan itu, kami perluaskan penyertaan peserta dari negara Asia lain seperti Indonesia, Singapura dan Brunei.

"Kami juga menyasarkan sambutan penonton lebih enam juta berbanding tiga juta tontonan tahun lalu," katanya.

Manhajj Mutawwif adalah program realiti berunsur dakwah fokus kepada kerjaya mutawwif yang bertanggungjawab dalam mengurus jemaah haji dan umrah di Tanah Suci.

Episod pertama program yang bersiaran selama satu jam itu bermula 26 Januari depan di saluran Astro Oasis.

Juara Manhajj Mutawwif tahun lalu berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM100,000, naib juara RM50,000 dan ketiga RM30,000.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 7:10 PM