Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Che Roslan Che Daud berucap pada Majlis Pelancaran Salam Baitullah 2022  'Satu Kerinduan, Satu Kepastian'. FOTO Genes Gulitah
Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Che Roslan Che Daud berucap pada Majlis Pelancaran Salam Baitullah 2022 'Satu Kerinduan, Satu Kepastian'. FOTO Genes Gulitah
Affan Rostam


Kuala Lumpur: Program Salam Baitullah 2022 kembali menemui penonton di saluran TV1 RTM bersempena musim haji kali ini dengan liputan secara langsung dari Tanah Suci Makkah sebagai usaha menyampaikan maklumat terkini keadaan di sana kepada umat Islam di tanah air dan sekitar Asia Tenggara.

Salam Baitullah 2022 tampil dengan tema Satu Kerinduan, Suatu Kepastian dijangka meraih sambutan positif daripada penonton sebagaimana jumlah tontonan terkumpul yang diterima pada tahun lalu sebanyak 12.3 juta walaupun ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan akibat pandemik Covid-19.

Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Che Roslan Che Daud berkata sejak mula bersiaran pada 2009, program itu tidak pernah gagal selain turut bersyukur apabila umat Islam dibenarkan kembali mengerjakan ibadah haji yang juga rukun Islam kelima.

"Memasuki edisi ke-14 kali ini, ia menggambarkan gaya tarikan yang dimiliki program ini yang tidak pernah gagal bersiaran sejak pertama kali diperkenalkan pada 2009. Saya bersyukur ke hadrat Allah kerana negara Arab Saudi sudah kembali membuka pintu kepada jemaah haji dari luar negara.

"Ini sekali gus membolehkan Salam Baitullah 2022 kembali kepada format asal penyiaran iaitu melaporkan secara langsung dari Tanah Suci Makkah. Saya juga bersyukur apabila RTM dengan kerjasama Lembaga Tabung Haji berjaya menghantar dua petugas RTM walaupun terikat dengan kuota semasa yang diperkenalkan oleh Arab Saudi," katanya semasa Majlis Pelancaran Salam Baitullah 2022 di Hotel Impiana, hari ini.

Tambahnya, penyiaran Salam Baitullah sangat sinonim dengan ibadah haji yang ditunaikan oleh umat Islam selain menggambarkan tahun ini menjadi titik penting buat jemaah haji untuk kembali menunaikan ibadah itu.

"Tahun ini siaran Salam Baitullah amat signifikan setelah dua tahun umat Islam di Malaysia tidak dapat mengerjakan ibadah Haji akibat pandemik Covid-19, maka tahun ini menjadi titik penting kepada Jemaah Haji Malaysia kembali menunaikan rukun Islam ke-5 di samping mengubat kerinduan kepada Baitullah," katanya.

Salam Baitullah 2022 akan disiarkan secara langsung sebanyak 16 episod bermula 26 Jun hingga 10 Julai ini pada jam sembilan hingga 10 malam setiap hari dari kota suci Makkah.

Salam Baitullah bersiaran di TV1 serta Saluran Berita, 123 My Freeview dan boleh ditonton menerusi laman sesawang RTM (rtmklik.rtm.gov.my serta Facebook Live).

Program tahunan ini turut menampilkan pengacara terkenal iaitu Ustaz Don Daniyal Don Biyajid, Ustaz Mohd Fakrul Radzi (Unic) serta Ustaz Megat Mohd Zaid.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Jun 2022 @ 1:18 PM