AZHARINA (kiri) yakin Jojie boleh uruskannya hingga ke peringkat lebih tinggi. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
AZHARINA (kiri) yakin Jojie boleh uruskannya hingga ke peringkat lebih tinggi. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Michelle Gun


BIARPUN kini mengendalikan kerjaya penyanyi Azharina Azhar, bekas pengurus Ella, Jojie Aminuddin memberitahu hubungannya dengan Ratu Rock negara itu masih baik.

"Kami tidak bergaduh dan berbaik saja. Ella tiada masalah saya meneruskan hala tuju sebagai pengurus.

"Lagipun, sekarang Ella sudah ada pasukan sendiri untuk menguruskan karier nyanyiannya," katanya pada sidang media, hari ini.

Menurut Jojie, pada asalnya dia merancang untuk berehat daripada dunia hiburan selepas 32 tahun menguruskan Ella, namun berubah fikiran selepas 'dilamar' Azharina.

"Azharina mempunyai vokal bagus dan unik. Saya mahu membawa dia ke peringkat antarabangsa sebagaimana saya melahirkan Ella sebagai Ratu Rock negara," katanya.

Sementara itu, Azharina meluahkan rasa syukur kerana akhirnya bertemu dengan pengurus terbaik selepas sekian lama bergerak sendiri.

"Sudah tiba masa sekarang saya cari pengurus kerana turut sibuk dengan perniagaan dan anak.

"Dengan pengalaman serta pencapaian Jojie, saya yakin dia boleh melonjakkan karier seni ke peringkat lebih tinggi," katanya.

Penyanyi Elegi Sepi itu memberitahu bakal memperkenalkan single baru selain merancang mengadakan konsert pada Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 10:21 PM