AIDA melakukan aktiviti sihat bersama Ariff. FOTO Ihsan A Aida
AIDA melakukan aktiviti sihat bersama Ariff. FOTO Ihsan A Aida
Sudirman Mohd Tahir


“JIKA suatu hari suami bertanyakan soal anak dan saya tak boleh berikannya zuriat, saya izinkan dia berkahwin lain,” kata penerbit terkenal Datuk A Aida, 47, yang berkahwin dengan pelakon, Ariff Aziz, 29.

Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang berkata, pada usia sekarang adalah sukar untuk dia hamil lagi.

Namun, dia sentiasa percaya kepada rezeki dan ketentuan Allah SWT.

“Sebelum berkahwin, saya ada bertanya kepada suami mengenai perkara ini. Dia kata kalau tak ada rezeki, tak apa. Saya faham dia masih muda dan sudah tentu dia inginkan zuriat sendiri. Buat masa sekarang, dia tak bercakap lagi perkara ini.

“Pada usia sekarang saya berasakan sukar untuk hamil, tetapi kita tak tahu ketentuan Allah. Jika ada rezeki, adalah. Kalau tak ada, saya reda,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Aida yang sudah lima bulan berkahwin dengan Ariff berkata, mereka lebih banyak menghabiskan masa dan menjalankan aktiviti bermanfaat bersama antaranya memancing, bersenam di gimnasium, mengikuti kelas piano dan belajar bahasa Mandarin serta Perancis.

“Alhamdulillah, sejak berkahwin kehidupan saya kembali sempurna. Apa saya inginkan sekarang adalah kebahagiaan dan kesihatan yang baik di samping orang tersayang iaitu suami dan anak-anak.

“Disebabkan itu, saya dan suami memilih untuk melakukan aktiviti sihat dan bermanfaat bersama. Dalam sebulan kami akan pergi memancing dua kali. Kalau datang ‘mood gila’ setiap minggu kami akan pergi. Sebelah malam pula kami ke gimnasium. Sekarang, kami baru mengikuti kelas piano.

“Selain itu, kami juga belajar bahasa Mandarin dan Perancis. Selepas ini, nak belajar beberapa bahasa lain pula. Jadi, kalau melancong ke negara orang senang sikit nak berkomunikasi,” katanya.

Aida sebelum ini pernah berkahwin dengan bekas penyanyi kumpulan Spring iaitu Ameng pada 1994 dan bercerai pada 2003.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua anak iaitu Wan Az Aleesa, 21, dan Wan Azevanatassha yang kini berusia 16 tahun.

Aida kemudian berkahwin dengan pegawai polis, Suffian Sulaiman pada 2007, namun perkahwinan itu berakhir dengan perceraian pada 2013.

Mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Rahul, 9.

Sebelum berkahwin dengan Suffian, Aida juga pernah berkahwin dengan seorang anggota polis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Disember 2018 @ 11:31 AM