Aida rapat dengan ibu Ahya. FOTO SDT/A Aida
Aida rapat dengan ibu Ahya. FOTO SDT/A Aida
Sudirman Mohd Tahir


"KAMI masih dalam fasa berkawan. Kalau ada jodoh, adalah," kata penerbit drama, Datuk A Aida, 47, mengenai gosip mengatakan dia bercinta dengan model dan pelakon, Ahya Rosli, 30.

Ahya turut serta tunai umrah bersama Aida. FOTO AHYA ROSLI
Ahya turut serta tunai umrah bersama Aida. FOTO AHYA ROSLI

Menguatkan lagi spekulasi itu apabila Ahya yang juga anak kepada pelakon, Normah Damanhuri turut serta ketika Aida menunaikan ibadah umrah.

Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang berkata, dia dan Ahya mulai rapat ketika berjumpa pada majlis tayangan filem Malay Regiment pada Ogos lalu.

"Saya menyerahkan perkara ini kepada Allah SWT. Saya tidak boleh mengiyakan atau menidakkan. Segalanya adalah ketentuan dan takdir.

"Cuma, buat masa sekarang saya dengan Ayha adalah kawan. Saya selesa berkawan kerana dia lelaki yang baik. Memandangkan dia anak emak, jadi tak dinafikan dia seorang yang penyayang dan ambil berat. Anak saya pun okey dengan dia," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Aida, dia tidak menolak sekiranya ditakdirkan berkahwin dengan Ahya meskipun beza usia 17 tahun.

"Saya tak kisah jodoh dengan lelaki muda, tetapi apabila memikirkan perbezaan usia kami yang terlalu jauh banyak perkara perlu diambil kira.

"Kalau kami berkahwin, saya fikir pada usia ini adakah saya boleh memberikan zuriat untuknya? Sudah tentu sebagai lelaki yang belum pernah berkahwin pasti inginkan anak.

"Apa pun, saya tetap berfikiran positif. Kalau betul ada jodoh kami, saya berdoa agar dikurniakan anak. Apa pun, buat masa sekarang kami hanya kawan," katanya.

Mengenai hubungannya dengan ibu Ahya, Aida berkata dia okey dan rapat dengan Normah yang dipanggil Mama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2017 @ 1:33 PM