Afgan adakan konsert Sabtu ini. FOTO MAHZIR MAT ISA
Afgan adakan konsert Sabtu ini. FOTO MAHZIR MAT ISA
Amirul Haswendy Ashari


BIARPUN tiket untuk menyaksikan Afgan Konsert Dekade Live In Kuala Lumpur 2018 yang berlangsung Sabtu ini di Dewan Plenary Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dianggap sangat mahal bagi segelintir pihak, ia ada sebab tersendiri.

Tiket bagi menyaksikan konsert itu adalah RM288 untuk kelas Silver, RM588 (Gold), RM888 (Platinum) dan RM1288 (Diamond VVIP).

Perkara ini disahkan penganjur konsert, Nizra Production melalui Ketua Pegawai Operasi, Nik Iruwan Datuk Nik Ibrahim ketika dihubungi, berkata harga tiket dijual pada harga itu kerana pihak mereka mahu menjaga kualiti persembahan.

“Sasaran adalah kepada peminat tegar Afgan selain pelanggan berprofil tinggi seperti daripada syarikat korporat atau VIP yang meminatinya.

“Ia nampak mahal sebab kami mahu mengangkat imej Afgan ke tahap lebih tinggi terutama sempena menyambut ulang tahun ke-10 penyanyi popular itu dalam industri muzik Asia.

Nik Iruwan turut mendedahkan kos yang tinggi pada penganjuran konsert penyanyi asal Indonesia ini kerana pihak mereka menampilkan sistem bunyi dan pencahayaan peringkat antarabangsa.

Selain itu, bagi menjamin kualiti setaraf dengan harga ditawarkan, Afgan membawa krunya sendiri seramai hampir 60 orang termasuk pemuzik, jurutera bunyi dan kru teknikal lain.

Dia turut akui Afgan sangat menitik beratkan kualiti kerana setiap hari penyanyi itu akan berkongsi perkembangan latihan dilakukan di Indonesia melalui Whatsapp.

“Dia bekerja keras dan hari-hari menghantar perkembangan latihan nyanyian, koreografi dan muzik kepada kami. Ini menunjukkan dia sangat komited dan peminat seharusnya menghargai kerja kerasnya selama ini melalui konsert ini.

“Jika peminat benar-benar mahukan sebuah persembahan terbaik daripada artis kesayangan mereka ini, isu harga adalah perkara kedua,” kata Nik Iruwan lagi.

Dalam pada itu, hampir 80 peratus tiket sudah pun terjual dan kaunter penjualan tiket melalui laman sesawang masih lagi dibuka sehingga ke hari Sabtu ini.

Media Indonesia hari ini melaporkan Afgan didakwa khuatir konsertnya di Malaysia sepi kerana harga tiket yang mahal namun selepas mendapat tahu sudah lebih 2,000 daripada 2,500 tempat duduk sudah berjaya dijual, dia akhirnya lega.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Oktober 2018 @ 4:39 PM