Azmir sedar kekurangan dirinya. FOTO FB AZMIR
Azmir sedar kekurangan dirinya. FOTO FB AZMIR
Norhayati Nordin


SUDAH 14 lagu dirakamkan, satu pun tidak dimainkan stesen radio swasta. Itulah nasib yang menimpa penyanyi istimewa, Azmir Arif, 34, sepanjang lapan tahun menceburi dunia seni.

Ia diluahkan Azmir di laman sosial Facebook (FB) miliknya, semalam selepas tidak dapat membendung lagi perasaan kesal dan kecewanya terhadap kerjasama diharapkan daripada stesen radio swasta selama ini.

Azmir atau Mohd Azmira Mohamad Arif ketika dihubungi berkata, sepanjang lapan tahun dia aktif menyanyi, sebanyak 14 lagu pelbagai genre muzik sudah dirakamkannnya.

Malangnya tiada satu pun lagu yang dirakamkan itu berjaya mendapat peluang berkumandang di radio swasta tanah air.

"Kalau lapan tahun lalu, barangkali saya boleh terima alasan diberikan iaitu kemungkinan genre lagu yang saya rakam tidak sesuai untuk diperdengarkan kepada sasaran kelompok pendengar mereka.

"Bagaimanapun, kini sudah 14 lagu pelbagai genre yang saya rakam, kenapa masih tiada satu pun boleh dinilai untuk diberikan peluang?," katanya.

Kata Azmir, dia ada merakamkan genre lagu pop,balada, irama Malaysia, dangdut termasuk K-pop supaya boleh mendapat peluang disiarkan untuk penilaian pendengar.

"Sudah lapan tahun lamanya saya pendam perasaan marah, kesal, geram dan kecewa yang bercampur-baur dalam hati ini apabila mengenangkan kenapa sukar untuk lagu saya mendapat peluang seperti penyanyi lain.

"Saya sedar kekurangan diri yang sengau bila bercakap tetapi untuk menyanyi, Alhamdulillah Allah SWT memberikan saya anugerah boleh menyanyi dan merakamkan lagu dengan baik.

"Terus-terang, bukan populariti yang saya kejar dalam karier nyanyian ini, cuma apa yang saya harapkan ialah lagu saya mendapat peluang untuk disiarkan di radio swasta," katanya.

Azmir berkata dia tiada masalah dari segi mendapat tawaran undangan menyanyi kerana sering diundang membuat persembahan di negara jiran seperti Brunei Darussalam, Singapura dan Indonesia.

"Namun, saya sedih, kesal dan kecewa apabila lagu-lagu saya tidak mendapat peluang berkumandang di radio swasta.

"Kini, saya tahu dan dapati kebanyakan pendengar muzik memang tertumpu mendengar rangkaian lagu yang disiarkan di radio swasta. Jadi, harapan saya tolonglah beri peluang," katanya.

Azmir yang bergerak sendiri menguruskan karier nyanyiannya, sanggup menceburi bidang seni kerana minat yang mendalam.

Antara lagu yang pernah dirakam ialah Flaming To Moon, Nombor Satu, Single dan terbaru, Cinta Kita Berdua.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2017 @ 3:34 PM