PUTERA BAND
PUTERA BAND
Norhayati Nordin

Tatkala beberapa kumpulan baharu popular dengan single pertama, lain pula ceritanya dengan Putera Band yang dilihat seakan ‘menyepi’.

Kumpulan yang pernah popular dengan single Rebahku Tanpamu tahun lalu itu ada muncul dengan single kedua berjudul Tersiksa namun kurang menjadi.

Dianggotai empat anak muda iaitu Haziq, 18, selaku vokalis, Alepp, 20 (dram), Aidid, 15, (bass) dan Baby, 17, (gitar), sebenarnya Putera Band masih aktif memperjuangkan muzik mereka.

Haziq berkata, Tersiksa tidak mendapat tempat di stesen radio popular.

Bagaimanapun sambutan di platform digital seperti YouTube sangat baik.

“Muzik video rasmi single Tersiksa yang dimuat naik di YouTube hingga kini mencatat 13 juta tontonan.

“Cuma, masih ada yang kurang sedar kehadiran lagu ini apabila ia jarang diputarkan di radio.

“Apapun, kami tidak kecewa, jauh sekali berputus asa. Inilah nama­nya dugaan anak seni,” katanya.

Sedar perjuangan harus diteruskan, Putera Band kini muncul dengan single terbaru, Dilema hasil ciptaan sepenuhnya komposer muda dikenali sebagai Apek.

Berbicara mengenai single Dilema itu, Haziq berkata, Putera Band kini mengetengahkan genre pop moden bagi menampilkan kelainan.

“Dua single terdulu menjurus muzik era 90-an yang meruntun jiwa.

“Apa yang pasti, sebagai penyanyi saya suka melodi dan lirik single Dilema yang kena dengan jiwa serta vokal. Semoga single ini kembali membawa sinar buat Putera Band.

“Menariknya, penyokong Putera Band tetap menerima positif single Dilema ini apabila muzik video di YouTube yang baru tiga minggu dimuat naik mencatat lebih 362,000 tontonan.

“Kini, harapan Putera Band moga Dilema mesra radio. Ini kerana, selain platform digital semestinya penyiaran di radio juga memainkan peranan penting.

“Ia boleh dikata sebagai peranan ‘dua hala’ pada masa kini iaitu medium penyiaran digital dan radio harus bergerak seiring untuk karya dihasilkan mendapat perhatian pendengar,” katanya.

Ditanya mengenai tawaran persembahan nyanyian, Haziq bersyukur Putera Band masih mampu bernafas lega.

“Setakat ini, tawaran nyanyian masih ada meski persembahannya berskala kecil dan bayaran pun tidak begitu tinggi.

“Apapun, bayaran itu masih setimpal dengan Putera Band. Kami tidak begitu cerewet memilih dan bersikap terbuka menjayakan apa sahaja bentuk persembahan.

“Apa yang penting, Putera Band ada tawaran menyanyi dan sekali gus mendapat peluang terus dekat dengan penyokong kami,” katanya.

Sekalipun bernaung dengan syarikat rakaman FMC, segala urusan untuk tawaran persembahan nyanyian Putera Band diselia oleh ibu Haziq iaitu Linda Eva.

Menurut Haziq, Putera Band sudah biasa berdikari. Justeru, apa yang paling diutamakan adalah peluang mendapat tawaran persembahan nyanyian untuk terus menjana sumber pendapatan kumpulan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Oktober 2018 @ 8:01 AM