Syafiq sedih dengan kehilangan enam anggota bomba. - FOTO Arkib NSTP
Syafiq sedih dengan kehilangan enam anggota bomba. - FOTO Arkib NSTP

Ridzuan Abdul Rahman

[email protected]

“SAYA terkejut mendengar berita anggota bomba lemas apatah lagi ada di antara mereka saya kenal walaupun bukan secara dekat,” kata penyanyi Syafiq Farhain mengulas perkhabaran duka enam anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) terkorban dalam operasi mencari dan menyelamat seorang remaja lelaki yang terjatuh ke dalam lombong di Taman Putra Perdana, semalam.

Syafiq, 24, yang bertugas sebagai anggota bomba di Putrajaya mengakui sedih dengan tragedi menyayat hati itu.

“Saya terkesan dengan kehilangan besar ini. Lebih sedih apabila ada di antara netizen tergamak mengeluarkan komen keterlaluan dan tidak menjaga sensitiviti kami anggota bomba.

“Mereka boleh pula komen ada kelemahan dalam operasi yang dijalankan.

“Buat pengetahuan semua, kami sentiasa beroperasi mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya dengan nada terkilan.

Syafiq menasihati netizen agar jangan menulis sesuka hati sehingga mengguris perasaan keluarga mangsa serta anggota bomba.

“Mungkin mereka tidak tahu perkara sebenar sehingga tergamak menulis sesuka hati.

“Hentikan komen sebegini dan lebih molek sekiranya kita sama-sama mendoakan yang terbaik buat mangsa.

“Takziah buat keluarga mereka dan sentiasa tabah menghadapi dugaan,” katanya.

Ditanya perasaannya untuk terus menggalas tugas sebagai anggota bomba, Syafiq yang kini terikat dengan penggambaran filem Hero berkata dia bersedia dan sentiasa berhati-hati ketika bertugas.

“Tidak dinafikan perasaan takut itu memang ada dan ia normal buat setiap manusia.

“Apatah lagi setiap operasi yang kami lakukan berisiko tinggi dan boleh dikatakan mempertaruhkan nyawa kami sendiri.

“Apa yang boleh dilakukan adalah sentiasa beringat, berhati-hati serta mematuhi langkah keselamatan yang ditetapkan. Apa yang berlaku dijadikan pengajaran dan saya berharap semua rakan terus bersemangat berkhidmat untuk masyarakat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 4:49 PM