SOPHIA Liana. FOTO Mahzir Mat Isa
SOPHIA Liana. FOTO Mahzir Mat Isa
Syafil Syazwan Jefri


PENYANYI, Sophia Liana yang juga anggota kumpulan DeFam lebih selesa dirinya dilabel sebagai penyanyi berbanding pelakon.

Menurut Sophia, 28, dia meminta keizinan dariapada pihak pengurusannya untuk memberi tumpuan kepada muzik dan tidak akan menerima tawaran lakonan lagi selepas ini.

“Sebelum ini, saya pernah berlakon. Rasanya, lakonan bukanlah jiwa saya. Waktu saya berlakon sebelum ini pun, ia sekadar untuk mencari pengalaman dan bila dah rasa sendiri, itu sudah memadai,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, sebagai pemuzik yang juga penyanyi rap dan penulis lirik, dia dapat mengembangkan jiwa seninya.

“Menerusi penulisan lirik, saya dapat kembangkan jiwa seni saya sebaik mungkin. Kalau berlakon, saya hafal skrip dan berlakon.

“Jadi, saya tahu hala tuju dan fokus saya adalah dalam bidang muzik berbanding lakonan,” katanya.

Sophia juga kerap kali menerima soalan daripada peminat yang bertanya, kenapa dia tidak banyak berlakon.

“Ada yang membandingkan saya dengan Manggis dan Azira kerana mereka kerap berlakon. Itu bergantung kepada individu dan saya sendiri pilih untuk teruskan dengan muzik.

“Drama terakhir lakonan saya adalah Vila Ghazara yang sedang ditayangkan di TV3 sekarang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 September 2018 @ 3:18 PM