SOPHIA Liana. FOTO Mahzir Mat Isa
SOPHIA Liana. FOTO Mahzir Mat Isa
Syafil Syazwan Jefri

Setiap selebriti ada personaliti tersendiri dan mempunyai kehendak dalam memilih laluan seni mereka.

Sebagai penyanyi solo, nama Sophia Liana mungkin tidak sekuat penyanyi lain.

Namun, jika disebut nama kumpulan DeFam yang dianggotainya bersama Azira Shafinaz dan Cik Manggis, tentunya nama Sophia tidak lagi asing.

Walaupun bermula dan bergerak secara berkumpulan, itu sama sekali tidak menjadi batasan untuk Sophia bergerak dan mengembangkan kerjaya solonya.

Disebabkan cintanya kepada muzik, dia meruntuhkan ruang lingkup sedia ada sebagai anggota ‘girl band’ dan menjadi penyanyi yang boleh berdiri di kaki sendiri.

Dalam mengejar dan menempa kejayaan dengan membawa namanya sendiri, penyanyi berusia 28 tahun ini mengakui kerap diajukan soalan sama ada DeFam sudah dibubarkan.

“Sebenarnya, DeFam masih ada dan kami tidak pernah dibubarkan mahupun berpecah. Mungkin ramai yang menganggap sedemikian kerana kami masing-masing ada komitmen lain dalam industri hiburan,” katanya.

Sophia juga menjelaskan mereka memerlukan masa yang lama dalam menghasilkan karya berkualiti kepada peminat.

“Sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk kami keluarkan lagu baru kerana ia belum lengkap untuk kami berikan yang terbaik.

“Lagunya sudah ada dan saya sendiri sudah siapkan lirik untuk bahagian saya. Jadi, proses untuk melengkapkannya yang memakan masa yang panjang,” katanya.

Dia juga tidak mahu membuang masa dan melakukan sesuatu untuk terus kekal relevan.

“Kalau Azira dan Manggis masing-masing sibuk dengan komitmen mereka, saya pula memilih teruskan saja dengan beberapa projek solo,” katanya.

Ditanya mengenai karier sebagai pelakon, Sophia berkata, hatinya lebih cenderung kepada muzik berbanding dunia lakonan.

“Saya sebenarnya lebih selesa sebagai penyanyi kerana itu adalah jiwa saya. Saya memulakan langkah di dalam industri dengan muzik. Jadi, saya akan kekal dengan pilihan pertama saya itu,” katanya.

SOPHIA Liana. FOTO Mahzir Mat Isa
SOPHIA Liana. FOTO Mahzir Mat Isa

Menurut Sophia, setiap kali dia menulis lagu dan lirik, jiwa seni dan keperibadiannya terus berkembang bersama karya yang dihasilkan.

“Mungkin lain orang, lain pilihannya. Bagi saya, setiap kali saya hasilkan lagu atau lirik, ia berkembang bersama diri saya. Ia mematangkan saya sebagai pemuzik dan individu.

“Saya yakin, saya patut buat apa yang diimpikan sejak awal iaitu untuk menjadi pemuzik dan bukannya menukar arah tuju hanya kerana sudah mula dikenali,” katanya.

Bergabung dengan W.A.R.I.S dan Zizi Kirana

Terbaru, Sophia bekerjasama bersama penyanyi hip hop W.A.R.I.S dan Zizi Kirana menerusi single berjudul Terbaik Bossku.

Kerjasama itu tidak terlalu sukar buatnya memandang­kan dia sendiri sudah mengenali kedua-dua penyanyi itu.

“Sepanjang bekerja dengan mereka, semuanya berjalan lancar. W.A.R.I.S dan Zizi merakamkan bahagian mereka terlebih dulu dan kemudian saya masuk ke studio dan lengkapkan bahagian saya,” katanya.

Sebelum Terbaik Bossku, Sophia juga pernah bekerjasama dengan Sakura Band untuk lagu berjudul Magik. Namun, tentunya ada perbezaan ketara antara kedua-dua karya itu.

“Kalau dalam lagu Magik bersama Sakura Band, rentak dan auranya lebih kepada sesuatu yang gamat dan ‘chicky’. Terbaik Bossku pula, jiwa lagunya lebih matang dan serius.

“Apa yang pasti, kami sudah berikan yang terbaik untuk lagu ini dan harap diterima dengan baik oleh pengikut setia industri muzik tanah air,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 September 2018 @ 9:20 AM