BLACKPINK
BLACKPINK
Georgie Joseph

[email protected].

Annyeonghaseyo!!! Penghibur wanita ini tidak dinafikan antara paling berkuasa dalam industri hiburan sekarang. Kumpulan BLACKPINK dari Korea Selatan dan Dua Lipa dari United Kingdom (UK) cukup popular seantero dunia.

Terbaru, Dua Lipa menerusi Twitter mengumumkan bakal berkolaborasi dengan BLACKPINK. Semestinya berita itu dinantikan ramai selepas pertemuan mereka hangat diperkatakan tidak lama dulu.

Menurut Dua, dia sangat teruja dengan projek itu dan mengesahkan lagu mereka akan dilancarkan bulan depan.

“Saya tidak sabar mahu melancarkan album edisi ‘super deluxe’ yang memuatkan tiga lagu baru pada 19 Oktober nanti.

“Anggap saja ini hadiah istimewa yang melengkapi album itu. Terima kasih atas sokongan peminat,” katanya.

Lagu berjudul Kiss And Make Up akan dimuatkan dalam album terbarunya. Dua menggunakan namanya sebagai judul album terbabit.

Lagu khas itu dipercayai diilhamkan selepas Dua Lipa dan BLACKPINK bertemu di Seoul sewaktu penyanyi New Rules itu menjayakan konsert di Korea Selatan.

Peminat BLACKPINK sudah tidak sabar melihat gabungan hebat lima pe­nyanyi itu dalam satu lagu.

Mereka menyifatkan kolaborasi itu satu kemenangan dan tidak sangka ia akan menjadi realiti selepas beberapa bulan pertemuan Dua Lipa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 September 2018 @ 12:30 PM