BLACKPINK
BLACKPINK
Agensi

 

Seoul: Kumpulan BLACKPINK kini memegang gelaran Ratu YouTube selepas video muzik lagu baharu mereka berjudul Lovesick Girls meraih tontonan lebih 10 juta dalam tempoh kurang sejam.

Lagu berkenaan adalah antara lagu dimuatkan dalam album mereka berjudul The Album yang turut dilancarkan semalam.

Berkongsi mengenai pengiktirafan itu, anggotanya Rosé berkata, mereka tidak pernah berhenti bersyukur dengan setiap pencapaian terbaru diraih.

"Ia satu penghormatan apabila diberikan gelaran itu (Ratu YouTube). Kami sentiasa bersyukur dapat mencapai banyak perkara dengan menerusi muzik sahaja.

"Kami gembira apabila pendengar nampaknya suka dengan muzik kami dalam pelbagai bentuk. Setiap kali ada berita mengenai rekod baharu, kami sangat kagum," katanya.

Turut menggembirakan BLACKPINK adalah kerjasama dengan penyanyi rap tersohor, Cardi B menerusi lagu Bet You Wanna. Mereka terharu mendapat penghormatan menjalin kerjasama itu.

Dalam pada itu, agensinya YG Entertainment memaklumkan jumlah pra tempahan album kumpulan itu mencecah lebih sejuta. 

BLACKPINK bakal mencipta sejarah album kumpulan K-Pop wanita paling laku terjual sekiranya jumlah jualan album mencecah jumlah itu dalam minggu pertama penjualannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2020 @ 11:31 AM