HASILKAN lagu Kita Punya Malaysia versi Akustik bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan.
HASILKAN lagu Kita Punya Malaysia versi Akustik bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan.
Ridzuan Abdul Rahman


Bagi menyuntik kemeriahan sempena bulan kemerdekaan Malaysia yang dirai hari ini, kumpulan rock Bunkface tampil melancarkan single terbaharu mereka berjudul Kita Punya Malaysia versi Akustik.

Lagu asal Kita Punya Malaysia sebenarnya pernah menjadi lagu tema Hari Kebangsaan Malaysia pada 2018 dan 2019.

Vokaklis Bunkface, Sam berkata, mengambil kira suasana kemerdekaan tahun ini di mana negara masih berperang dengan virus Covid-19, maka mereka mengambil langkah untuk mengubah sedikit aura lagu berkenaan dengan gubahan lebih santai.

"Kami berharap karya baharu ini dapat sedikit sebanyak meniupkan semangat patriotisme dalam kalangan peminat dan pendengar muzik Bunkface.

"Walaupun dalam keadaan negara yang mencabar kini, kita perlu terus bersemangat untuk membina masa depan yang lebih cerah demi generasi akan datang," katanya yang juga pencipta sepenuhnya lagu itu.

Pada 2018, Bunkface diberi peluang sebagai duta untuk kempen Kita Punya anjuran Media Prima Berhad (MPB) serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) sempena bulan kemerdekaan pada tahun berkenaan.

Lagu Kita Punya Malaysia versi Akustik ini sudah dilancarkan pada 27 Ogos lalu di semua platform media sosial rasmi Bunkface, termasuk di saluran digital juga.

Sementara itu, sepanjang tempoh pandemik ini, kumpulan yang dianggotai oleh Sam (penyanyi, gitar), Youk (pemain basis) dan Paan (pemain gitar) banyak menumpukan perhatian mereka kepada keluarga masing-masing.

TERUS mengimpikan kejayaan sempena 15 tahun usia pembabitan mereka dalam bidang seni tanah air.
TERUS mengimpikan kejayaan sempena 15 tahun usia pembabitan mereka dalam bidang seni tanah air.

"Bagaimanapun, fokus untuk kumpulan tetap ada. Untuk saya sendiri, sekarang sibuk dengan aktiviti mencipta lagu dan mengumpulkan material baharu untuk album akan datang.

"Tidak keterlaluan kami juga rindu untuk beraksi dalam konsert besar-besaran buat peminat.

"Ia pastinya sesuatu yang sangat kami nantikan kerana di situ 'magik' Bunkface sebagai sebuah band dapat dipersembahkan," kata Sam.

Menurutnya, bagaimanapun tak dinafikan agak mustahil tahap kepuasan dapat dicapai dengan hanya membuat persembahan nyanyian secara maya.

"Apapun, setakat ini kami (Bunkface) belum lagi berniat untuk membuat persembahan nyanyian maya sendiri secara terbuka

"Cuma, kami kini sekadar memenuhi permintaan sesetengah pihak yang berminat serta menginginkan video persembahan eksklusif Bunkface untuk acara virtual mereka," katanya.

Menurut Sam, tahun ini juga usia Bunkface sudah menginjak 15 tahun dan mereka terus mengimpikan pelbagai kejayaan mampu dilakar untuk karier dalam industri seni tanah air.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 6:12 AM