ANGGOTA Bunkface, Youk (kiri), Paan (tengah) dan Sam.
ANGGOTA Bunkface, Youk (kiri), Paan (tengah) dan Sam.
Norhayati Nordin


MESKIPUN kini adalah era penyanyi baru dikenali Budak Baru Nak Up (BBNU), namun perjuangan band indie seperti Bunkface masih mendapat perhatian peminat.

Buktinya apabila Bunkface yang lebih sedekad aktif dalam industri muzik, hingga kini masih berkarya dengan menghasilkan lagu baru.

Dianggotai Sam selaku vokalis, Youk (pemain gitar bass) dan Paan (gitar utama), Bunkface mengakui penghasilan lagu baru penting untuk kekal bertahan dalam industri.

Menurut Sam, biarpun kini Bunkface tidak muncul dengan album, tetapi perlu dipastikan sebagai pemuzik sepenuh masa, mereka perlu ada lagu baru.

“Disebabkan itu, kami sentiasa menghargai peluang yang diperoleh dan untuk 2020 ini, Bunkface akan tampil dengan projek lagu tema (OST) untuk filem.

“Jika tiada aral dan mengikut perancangan diatur, Bunkface bakal muncul mempertaruhkan lagu berjudul Millennium Rempit untuk filem Remp-It 2.

“Setakat ini, lagu pun sudah siap dan hanya menunggu masa dilancarkan. Apapun, kami harap lagu ini dilancarkan bersama filemnya nanti.

“Sejujurnya, Bunkface sangat teruja dengan lagu Millennium Rempit ini kerana kami sangat berusaha menghasilkannya sebaik mungkin,” katanya.

Menurut Sam, gubahan melodi dan lagu Millennium Rempit dicipta berdasarkan jalan cerita filem yang mengangkat aktiviti rempit ke litar lumba.

“Di Malaysia, aktiviti rempit boleh dianggap budaya pada kalangan ‘mat motor’ kerana tidak tak semua orang mampu membeli kereta yang mahal.

“Jadi, untuk golongan tertentu yang hanya mampu memiliki motor selalunya terkait dengan aktiviti rempit. Bagaimanapun, jangan mudah membuat penilaian.

“Tolak ke tepi persepsi negatif kepada golongan rempit kerana tidak semuanya buruk. Dalam kehidupan ini, semestinya ada sisi yang baik juga.

“Itu yang kami lihat cuba diangkat pengarah filem Remp-It 2 iaitu Datuk Farid Kamil dalam filem terbarunya. Bagi Bunkface, ia kisah cukup menarik,” katanya.

Selain projek lagu tema filem itu, Sam berkata, Bunkface juga akan melancarkan lagu terbaru berjudul Akhir Zaman tidak lama lagi.

Katanya, setakat ini masih dalam perancangan untuk lagu Akhir Zaman dilancarkan. Apapun, diharapkan semua berjalan mengikut perancangan dibuat.

Tidak ketinggalan, Bunkface juga teruja untuk menjayakan festival muzik dikenali Riot Fest yang berlangsung pada 4 April depan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.

Selain Bunkface, penyanyi lain turut membuat persembahan ialah Hujan, Bittersweet, Plague of Happiness, Salam Muzik dan Aman Ra.

Tidak ketinggalan, ditampilkan juga Toko Kilat, Iqbal M, Gard Wuzgut, Operahaus, Fuze Band, Hacktick, Golden Mammoth dan Tarque Six.

Bagi orang ramai yang berminat menyaksikan persem

bahan festival muzik hebat ini, harga tiket ialah RM50, RM70, RM90 dan RM150.

Turut berhasrat mengembangkan empayar muzik Bankface ke Indonesia, kumpulan ini memaklumkan mereka masih dalam perbincangan merakam lagu duet bersama penyanyi Kikan Namara.

Sam berkata, apa yang pasti Bunckface melihat sudah tiba masa untuk mereka mencari peluang mengembangkan pengaruh muzik diperjuangkan ke negara jiran seperti Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Februari 2020 @ 6:18 AM