AMIR Masdi.
AMIR Masdi.
Syafil Syazwan Jefri


Melangkah ke tahun kedua bergelar penyanyi, Amir Masdi tidak mahu namanya lenyap tetapi ingin terus mengorak langkah memperjuangkan kerjayanya.

Dua single nyanyiannya sebelum ini berjudul Waktu dan Pemilik Cinta tidaklah terlalu menjadi jika dibandingkan dengan lagu penyanyi lain yang muncul pada tahun sama.

Namun, itu tidak menjadi ‘barah’ buatnya, tetapi mencabar diri untuk melakukan lebih baik.

“Siapa yang tidak kecewa jika single yang dipertaruhkan tidak menjadi. Tapi, jika saya bersedih dan terlalu kecewa, tak akan ada hasilnya.

“Jadi, saya jadikan apa yang berlaku kepada single pertama dan kedua satu pengajaran untuk lakukan lebih baik dalam single seterusnya,” katanya.

Menurut penyanyi berusia 22 tahun ini, apa yang berlaku kepada single pertama dan keduanya adalah kerana kekangan masa.

“Kekangan masa menjadi masalah utama yang menyebabkan saya tak dapat berikan tumpuan sepenuhnya ketika kedua-dua lagu itu diterbitkan,” katanya.

Amir atau nama sebenarnya Amir Syazwan Masdi berkata, dia tidak kisah sekiranya penghasilan single ketiganya akan mengambil masa lebih lama.

“Jika ambil masa hingga setahun atau lebih pun, tak mengapa. Saya nak karya yang berkualiti, bukan sekadar memenuhi syarat untuk dikeluarkan,” katanya.

Ditanya mengenai fokus genrenya untuk single ketiga, dia ada menerima beberapa karya daripada komposer tempatan.

“Ada yang memberikan lagu kepada saya dan genrenya pelbagai. Selain itu, dalam simpanan saya juga ada karya yang dihasilkan sendiri,” katanya.

Selain itu, Amir juga kini aktif di Instagram dan menghasilkan video lagu saduran.

“Banyak juga lagu saduran yang saya hasilkan dan kongsi di Instagram. Alhamdulillah, ramai yang memberikan reaksi positif dan itu menaikkan semangat saya,” katanya.

Selain itu, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif di Universiti Utara Malaysia (UUM) ini juga mencari peluang sekiranya ada tawaran lakonan buatnya.

“Saya ingin belajar benda baru. Jika ada tawaran lakonan, apa salahnya saya cuba nasib,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mei 2018 @ 8:57 AM