Penyanyi Amir Masdi
Penyanyi Amir Masdi
Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Penyanyi, Amir Masdi menolak sekiranya dilabel sebagai ingin menumpang populariti rakan duetnya dalam lagu Debu, Dayang Nurfaizah.

Amir berkata, ini adalah peluang yang tidak mungkin dilepaskannya memandangkan ia projek kolaborasi dengan artis pujaannya.

"Bagi saya, tak ada sebarang isu mengenai menumpang populariti Dayang atau apa, sebab yang utama adalah bakat dan kerjasama.

"Bagi saya, apabila dimaklumkan akan berkolaborasi dengan penyanyi berbakat besar seperti Dayang, tak mungkin saya lepaskan dan sia-siakan peluang itu," katanya kepada Harian Metro.

Tambah Amir, dia sendiri tidak pernah menyangka bakal berpeluang untuk bekerjasama dengan Dayang.

"Saya sendiri tak pernah menyangka akan dapat peluang untuk berduet dengan penyanyi seperti Dayang.

"Sejak dulu lagi, setiap kali ditanya, siapakah artis wanita yang saya ingin bekerjasama, jawapan saya adalah Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Dayang Nurfaizah.

"Nampaknya, ini satu impian yang menjadi kenyataan," katanya.

Terbaru, Amir dan Dayang hadir dengan single berjudul Debu hasil ciptaan Mas Dewangga, Jova Devito, Firdaus Rahmat, Mike Chan, Karim Karam dan Acap Salim.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Februari 2022 @ 3:23 PM