BEYONCE
BEYONCE
Susunan Michelle Gun

Dakwaan Tiffany Haddish yang Beyonce digigit pelakon wanita dalam satu parti tahun lalu mencetuskan kekecohan dalam kalangan netizen.

Susulan pendedahan Haddish kepada majalah GQ, netizen berusaha menjejaki ‘suspek’ yang melakukan perbuatan terbabit di media sosial.

Haddish yang juga pelakon berkata, kejadian itu berlaku di Los Angeles, Disember lalu dan parti itu turut dihadiri suami Beyonce, Jay Z.

Enggan mendedahkan nama pelakon itu, Haddish memberitahu ternampak pelakon terbabit menggigit muka Beyonce.

“Parti hampir tamat dan Beyonce berada di bar. Saya kemudian bertanyakan perkara itu kepadanya dan dia menjawab ya,” katanya.

Jelas Haddish, Beyonce meminta dia membiarkan saja pelakon itu yang dipercayai bawah pengaruh dadah.

“Dia memberitahu wanita terbabit mengambil dadah dan bukan selalu berperangai seperti itu,” katanya.

Kisah itu bukan saja jadi bualan hangat netizen tetapi turut mencuri tumpuan model terkenal Chrissy Teigen.

Pada Isnin lalu, model itu memuat naik status di Twitter dengan turut mempersoalkan individu yang menggigit Beyonce.

Disebabkan itu, Teigen menerima banyak maklumat dan teori terperinci daripada netizen yang turut ingin tahu pelaku sebenar.

“Hanya seorang saja yang boleh melakukannya, namun saya tidak akan cakap. Dia adalah yang paling teruk,” tulisnya di Twitter.

Majalah The Cut kemudian mendedahkan senarai nama tetamu antaranya pelakon Sanaa Lathan dan Sara Foster yang menafikan melakukan perbuatan terbabit.

Menjawab tuduhan itu di Instagram, Foster memberitahu dia teringin mendekati Beyonce dan menggigitnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Mac 2018 @ 1:19 AM