ANIS akui bimbang baca komen penonton PU4 di laman sosial yang pertama kali diadakan.
ANIS akui bimbang baca komen penonton PU4 di laman sosial yang pertama kali diadakan.
Najiy Jefri


Program realiti popular, Pencetus Ummah musim keempat (PU4) terbitan Astro membuka gelanggang persembahan dengan menyaksikan sembilan peserta berentap merebut gelaran juara PU4, Khamis lalu.

Mengekalkan format penjurian sama dengan musim terdahulu iaitu 70 peratus daripada juri profesional dan 30 peratus menerusi undian penonton, minggu pertama menyaksikan tiada penyingkiran.

Apa yang menarik perhatian, pengacara Serambi PU4, Anis Al-Idrus yang juga hos bersama program Mimbar Pencetus Ummah bersiaran secara langsung di Astro Oasis itu dilihat tenang ketika membacakan komen penonton mengenai program itu di laman sosial.

Biarpun apa yang dirancang pada malam itu tidak dapat dilakukan berikutan hujan lebat di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), lokasi program itu bersiaran, Anis bagaimanapun bijak mengawal suasana dan memberikan sehabis baik.

“Sepatutnya ada dua lokasi untuk saya membacakan komen yang dihantar penonton di laman sosial, tetapi nak buat macam mana hujan lebat. Mujur semuanya berjalan lancar dan tidak ada perkara yang tidak diingini berlaku pada minggu pertama,” katanya.

Ditanya apakah perkara yang paling ditakuti ketika mengacarakan program Islamik itu, Anis berkata, dia bimbang jika ada pihak mempersoalkan mengapa perlu membacakan komen daripada penonton di laman sosial.

“Segmen membaca komen dari laman sosial ini baru tahun ini dilakukan. Pihak produksi meminta saya berbuat demikian bagi menghebahkan dan menarik lebih ramai golongan muda menonton program ini.

“Sebenarnya saya ada mempersoalkan perkara ini kepada pihak produksi mengenai kebimbangan jika ada ‘mulut-mulut’ mengatakan segmen terbabit tidak perlu dibuat, tetapi saya ambil ia sebagai satu tanggungjawab dan lakukan sehabis baik.

“Jujurnya saya tidaklah begitu gemuruh ketika mengacarakan program yang bersiaran secara langsung kerana sudah mendapat skrip terlebih awal dan melakukan hampir tiga kali latihan,” katanya yang pertama kali mengacarakan program berbentuk Islamik.

Menurut Anis, dia menerima tawaran mengacarakan program terbabit kerana ingin mencuba sesuatu yang baru dalam kariernya di samping menyukai bidang pengacaraan.

Katanya, biarpun dia sedar bukan mudah mengacarakan program Islamik kerana segala tindak-tanduknya akan diperhatikan, Anis akui bersedia menerima segala kritikan dan cabaran itu.

“Saya sedar apabila mengacarakan program Islamik segala apa yang dibuat akan diperhatikan. Justeru, saya sudah bersedia menerima segala kritikan dan teguran kerana manusia tidak akan terlepas melakukan kesilapan.

“Pun begitu, jika ada komen negatif yang diterima, saya akan memperbaikinya. Memandangkan tugas kali ini lebih berat, saya sudah melakukan persediaan terlebih awal bagi memastikan segalanya berjalan lancar dan teratur,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2016 @ 5:02 AM