Jaclyn Victor
Jaclyn Victor
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi Jaclyn Victor mengaku tertekan apabila terpaksa merahsiakan penyertaannya sebagai peserta Gegar Vaganza musim ke-9 (GV9) yang diumumkan, semalam.

Jac berkata, dia terpaksa mengunci mulut walaupun ramai pihak sudah mula menebak dan yakin namanya antara peserta program itu.

"Salah satu syarat untuk menyertai program ini saya tidak boleh berkongsi penyertaan saya pada peringkat awal. Nama peserta hanya akan diumumkan secara rasmi pada majlis sidang media.

"Jadi saya agak tertekan kerana tidak suka menipu. Cuma ia bukanlah sesuatu yang tidak baik. Saya terpaksa menafikan perkara itu kerana masih baru untuk dikongsikan kepada umum. Selebihnya saya okay sahaja," katanya.

Menurut Jac, 43, dia terbuka hati untuk menyertai program nyanyian yang cukup digemari ramai itu kerana perubahan konsep serta medan untuk penyanyi sepertinya berkarya.

"Sebelum ini, saya ada menerima pelawaan untuk terbabit dalam program ini, tapi saya tidak mahu serta enggan memikirkannya. Bagaimanapun ketika menjalani penggambaran untuk sebuah program, pelawaan itu saya terima lagi dan masih lagi ragu-ragu.

"Kemudian bila bercakap dengan seseorang yang lebih berpengalaman dia diterangkan secara terperinci mengenai konsep pertandingan realiti ini dan saya jelas.

"Kalau dulu, program ini lebih memfokuskan kepada artis yang sudah lama tak aktif atau lama tidak keluar lagu baharu, tapi sekarang konsepnya dah berubah.

"Jadi bila mengetahui ia menjadi medan untuk penyanyi lakukan apa yang kita mahu, kenapa tidak ambil peluang itu? Daripada situ saya mula memikirkan mengenai hal ini dan betul juga, di mana lagi platform yang boleh kita persembahkan apa yang kita nak buat," katanya.

Konsert mingguan GV9 akan membuka tirainya secara langsung dari Dewan MBSA, Shah Alam selama 10 minggu pada setiap Ahad, jam 9 malam bermula 18 September ini dan disiarkan di Astro Ria.

Juara GV9 akan membawa pulang wang tunai bernilai RM100,000 serta trofi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 September 2022 @ 12:14 PM