AISHAH bersama ahli kelab Aishah FC.
AISHAH bersama ahli kelab Aishah FC.
AISHAH FC anjur pelbagai aktiviti serta kumpulan WhatsApp.
AISHAH FC anjur pelbagai aktiviti serta kumpulan WhatsApp.
Ardini Sophia Sina


Sekian lama tidak aktif, kanvas seni Wan Aishah Wan Ariffin atau Aishah kembali berwarna-warni selepas menyertai Gegar Vaganza musim keempat (GV4) tahun lalu.

Penyanyi berusia 53 tahun yang terkenal dengan lagu Janji Manismu itu merasai suasana berbeza berbanding awal kemunculannya pada 1984.

Dia kini ada kelab peminat yang dinamakan Aishah FC dan berpeluang untuk menikmati pelbagai aktiviti bersama mereka.

Kata Aishah, ketika terpilih menjadi peserta GGV 4, pihak produksi program berkenaan memberikan 20 hingga 30 keping tiket percuma kepadanya khas untuk peminat serta keluarga.

Pada mulanya dia tidak tahu kepada siapa tiket itu patut diserahkan kerana merasakan dia tidak lagi mempunyai pengikut.

Bagaimanapun, selepas mengiklankan tiket itu dilaman sosial, Aishah terkejut dengan reaksi peminat.

“Apabila saya dapat tiket itu, saya tanya pada diri sendiri, ada ke peminat? Saya cuba iklan di media sosial dan tak sangka ramai berlumba-lumba mahukan tiket itu.

“Kemudian ada yang cadang agar saya tubuhkan kelab peminat. Daripada situlah saya lantik seseorang yang boleh dipercayai untuk mengendalikan Aishah FC,” katanya.

Tambahnya, dia gembira kerana dapat meluangkan masa berinteraksi lebih dekat dengan peminatnya.

Malahan, mereka juga mempunyai kumpulan di WhatsApp bagi membolehkan setiap peminat berkomunikasi dan merancang aktiviti seterusnya.

Aisyah mengakui kagum kerana ada peminat yang masih menyimpan album lamanya. Malah, apabila dia tersilap atau lupa lirik, peminat akan membetulkan kesilapan itu.

“Mereka lebih ingat lirik lagu berbanding saya. Itu memang perkara yang mengagumkan dan menjelaskan mereka peminat setia yang menyokong saya sejak dulu.

“Apabila Aishah FC wujud, ada yang cuba mencari album lama saya kerana tidak sempat beli. Mereka yang ada maklumat akan cuba bantu untuk dapatkannya.

“Dulu pun saya ada juga peminat. Walaupun tidak ramai, saya hanya dapat jumpa mereka ketika membuat persembahan sahaja.

“Namun, kali ini lain kerana saya ada aktiviti khas dengan mereka,” kata Aishah.

Meskipun sudah lama tidak tampil dengan lagu baru, populariti Aishah tidak pernah merudum. Sebaik sahaja dia membuat kemunculan semula, namanya menjadi siulan ramai.

Setiap hari, pasti ada sahaja hadiah diterimanya. Ada juga peniaga tempatan menghadiahkan produk keluaran mereka dan memintanya melakukan promosi di laman sosial.

“Terima kasih kepada peminat yang tidak jemu menghantar hadiah dan buah tangan. Saya sangat menghargai tanda ingatan itu.

“Saya juga tidak ada masalah untuk buat ‘review’. Saya sentiasa menyokong pengusaha tempatan. Saya pun baru tahu sebenarnya ada banyak produk tempatan yang bagus,” kata Aishah.

Bakal muncul dengan single baru, Aishah berkata, ia masih dalam perbincangan dan berharap lagu itu dapat dilancarkan dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2018 @ 5:32 AM