BAGI Khai layak ke separuh akhir Muzik Muzik 32 sudah dianggap pencapaian tertinggi lagu Bayang.
BAGI Khai layak ke separuh akhir Muzik Muzik 32 sudah dianggap pencapaian tertinggi lagu Bayang.
Sudirman Mohd Tahir


Penyanyi Khai Bahar yang layak ke peringkat separuh akhir Muzik Muzik 32 berharap lagu Bayang yang juga single pertamanya terpilih ke Anugerah Juara Lagu ke 32 (AJL 32).

Khai, 23, berkata, beraksi di pentas berprestij itu menjadi impian setiap penyanyi apatah lagi dia sebagai penyanyi baru.

“Apabila melangkah ke separuh akhir, ia rezeki untuk saya. Saya tidak menjangkakan perkara ini kerana saingannya begitu hebat. Bagi saya, berada pada peringkat ini ia satu pencapaian tertinggi untuk lagu Bayang.

“Sekiranya layak ke AJL, ia bonus bukan saja untuk saya tetapi komposer dan penulis lirik terutamanya. Namun, secara peribadi sudah tentu saya mengharapkan lagu ini beraksi di pentas akhir.

“Bukan saja saya, malah mana-mana penyanyi pun memasang impian sama. Cuma, segalanya terserah kepada rezeki. Bagaimanapun, saya sudah memberikan persembahan terbaik pada saingan separuh akhir yang lalu,” katanya.

Selain itu, Khai yang kini muncul dengan single Luluh turut berharap lagu kedua ciptaannya berentak pop catchy dilancarkan segera.

“Jika sebelum ini semua lagu saya berentak balada, kali ini berbeza sedikit. Saya cuba tampilkan sesuatu yang berbeza dan jarang orang dengar. Lagu ini sudah siap dirakam cuma belum diberikan judul.

“Mungkin orang beranggapan saya hanya boleh menyanyikan lagu perlahan dan mendayu, tetapi untuk lagu baru ini peminat boleh menilai sendiri. Saya yakin lagu ini boleh pergi jauh dan diterima baik,” katanya.

Pada masa sama, impian Khai untuk berduet dengan idolanya, Siti Nordiana tercapai apabila mereka bakal merakamkan lagu itu awal tahun depan.

“Sudah lama saya menantikan saat ini. Sebelum menjadi penyanyi, saya selalu berduet dengan Siti Nordiana di aplikasi Smule. Apabila sudah menjadi penyanyi, kami hanya berjumpa pada acara hiburan.

“Kemudian kami diberi peluang berduet dalam satu majlis baru-baru ini. Ia cukup menggembirakan saya. Malah banyak maklum balas positif diterima. Bertitik tolak dari situ juga kami merancang menghasilkan lagu duet.

“Insya-Allah, lagu duet ini adalah ciptaan kami bersama. Buat masa sekarang, kami masih dalam proses perbincangan mengenai genre lagu. Ikutkan banyak membuat permintaan agar kami menyanyikan lagu balada. Kita tunggu saja nanti,” katanya.

Hasrat nak bawa ibu bapa tunai umrah tercapai

Khai yang kini berada Istanbul, Turki bagi menjayakan program Kembara Jiwa dan Kemanusiaan anjuran Syria Care akan ke Makkah untuk mengerjakan umrah bersama ibu bapanya.

“Saya memang sudah lama berniat untuk membawa ibu bapa menunaikan umrah sejak mula bekerja. Alhamdulillah, sekarang apabila ada rezeki lebih saya nak tunaikan impian ini. Saya bawa mereka ke sana menggunakan duit hasil titik peluh sendiri,” katanya.

Mengenai program itu, Khai bukan saja pergi beribadah, malah turut dibawa menziarahi Madrasah Hadharah iaitu sekolah kanak-kanak Syria di Istanbul.

Sepanjang 12 hari bermula 31 Oktober sehingga 11 November ini, Khai dan jemaah turut dibawa bertemu dan meluangkan masa dengan anak yatim pelarian Syria selain beberapa program lain.

“Saya mendapat tawaran ini pada Jun lalu. Saya tak berfikir panjang untuk menyatakan persetujuan. Bagi saya ini peluang terbaik untuk berkongsi dan memberi kesedaran kepada peminat dan pengikut di laman sosial.

“Adalah tanggungjawab saya untuk menghebahkan perkara ini kepada masyarakat. Saya mahu mereka tahu di sana masih ramai manusia yang hidup melarat dalam keadaan serba kekurangan,” katanya yang turut tidak meminta sebarang bayaran menyertai program ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2017 @ 12:33 PM