ANTARA babak dalam filem Her Love Boiles Bathwater.
ANTARA babak dalam filem Her Love Boiles Bathwater.
Michelle Gun


Edisi ke-14 Festival Filem Jepun (JFF) 2017 kembali menghangatkan pawagam Golden Screen Cinemas (GSC) dengan 14 karya hebat dari negara matahari terbit itu untuk tatapan peminat negara ini.

Acara tahunan itu bermula pada 9 September hingga 1 Oktober ini di pawagam terpilih GSC di Lembah Klang, Pulau Pinang, Kuching dan Kota Kinabalu.

Antara filem yang menjadi pertaruhan JFF tahun ini adalah The Projects, Blank 13, Midnight Diner 2, Tsukiji Wonderland, Her Love Boiles Bathwater dan animasi Rudolf the Black Cat.

Karya JFF2017 akan ditayangkan di GSC Mid Valley, Pavilion Kuala Lumpur, 1 Utama dan Nu Sentral mulai 7 hingga 13 September ini.

Di Pulau Pinang, pembaca boleh mengunjungi GSC Gurney Plaza pada 14 hingga 17 September, manakala JFF2017 akan menemui penduduk Kuching di GSC CityONE Megamall pada 21 hingga 24 September.

Seterusnya, acara ini diperkenalkan kepada pengĀ­gemar filem Jepun di Sabah pada 29 September hingga 2 Oktober ini di GSC Suria Sabah, Kota Kinabalu.

Jika tahun lalu pelakon popular Jepun Kiki Kilin datang ke Malaysia, kali ini, pengarah Saitoh Takumi akan membuat penampilan khas di GSC Pavilion Kuala Lumpur pada 5 September ini.

Saitoh yang juga pelakon berada di ibu kota untuk mempromosikan filem Blank 13 yang berdasarkan kisah benar seorang remaja bertemu semula dengan bapanya selepas 13 tahun.

Remaja terbabit mendapati bapanya berhutang keliling pinggang menghidap kanser dan dijangka hidup selama tiga bulan saja.

Karya ketujuh arahan Saitoh ini melayakkan karyawan terbabit memenangi Pengarah Terbaik Anugerah Bakat Baru Asia di Festival Filem Antarabangsa Shanghai ke-20.

Sementara itu, GSC dengan kerjasama Harian Metro memberi 100 tiket percuma untuk pembaca menyaksikan filem JFF2017 di pawagam Mid Valley, Kuala Lumpur.

Pembaca hanya perlu membawa artikel ini untuk menukarkannya dengan dua pas percuma di GSC Mid Valley bermula jam 11 pagi, hari ini.

Setiap pembaca hanya dibenarkan membawa satu keratan artikel ini saja dan berdasarkan siapa cepat dia dapat.

Bagaimanapun, tiket percuma ini tidak boleh digunakan untuk menyaksikan filem Tsukiji Wonderland, Midnight Diner 2 dan Blank 13.

Maklumat lanjut mengenai JFF 2016 boleh layari laman web www.jfkl.org.my dan www.gsc.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2017 @ 5:40 AM