ANTARA babak dalam filem Ma’ Rosa.
ANTARA babak dalam filem Ma’ Rosa.
POSTER  filem Ma’ Rosa.
POSTER filem Ma’ Rosa.
Syafil Syazwan Jefri


Tidak banyak filem yang berani memaparkan kisah pihak berkuasa menindas masyarakat dan golongan miskin. Itu yang dipaparkan dalam filem dari Filipina, Ma’ Rosa.

Karya ini mengisahkan Ma’ Rosa lakonan Jaclyn Jose, pemilik kedai serbaneka. Keuntungan yang diraih tidak terlalu besar memandangkan kedainya terletak di kawasan kediaman golongan miskin.

Selain menjual barangan runcit, Ma’ Rosa juga terpaksa menjual dadah bagi menampung kehidupannya bersama suami, Nestor dan empat anak mereka.

Apabila pihak berkuasa menghidu aktiviti penjualan dadah di kedai berkenaan, mereka sekeluarga ditahan.

Ma’ Rosa diberi pilihan, sama ada untuk membayar sejumlah wang yang besar kepada polis jika mahu bebas atau mendedahkan pembekal dadah di kedainya.

Keluarga kecil ini terpaksa bangkit memperjuangkan hak mereka bagi meneruskan kehidupan.

Filem ini mendedahkan realiti yang berlaku masyarakat bawahan Filipina yang tidak mustahil berlaku di mana-mana sahaja.

Ma’ Rosa arahan Brillante Mendoza ini tercalon dalam Festival Filem Cannes 2016 dan Jaclyn Jose turut diumumkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik di festival itu.

Filem ini mula ditayangkan di pawagam Golden Screen Cinemas (GSC) Mid Valley, GSC Pavilion KL, GSC 1 Utama dan GSC Gurney Plaza, Pulau Pinang bermula Khamis ini.

Sementara itu, Harian Metro dengan kerjasama GSC ingin memberikan 74 tiket untuk menonton filem Ma’ Rosa di GSC Mid Valley pada jam 9 malam ini.

Pembaca hanya perlu membawa artikel ini untuk mendapatkan dua pas percuma di GSC Mid Valley mulai 7 malam ini. Setiap individu hanya dibenarkan membawa maksimum dua keratan artikel sahaja berdasarkan siapa cepat dia dapat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2017 @ 9:22 AM