Syafil Syazwan Jefri

PAWAGAM Golden Screen Cinemas (GSC) hari ini memulakan semula operasi tayangan filem di pawagamnya seluruh negara.

Tinjauan Harian Metro di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur hari ini menyaksikan pawagam itu mula dikunjungi pelanggan yang bersiap sedia untuk menonton filem mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Pengurus Penjenamaan dan Perhubungan Awam GSC, Sharmine Ishak berkata, sambutan yang diberikan penonton sangat menggalakkan.

"Jumlah penonton yang datang sangat menggalakkan. Begitu juga yang membeli tiket secara atas talian yang mula dibuka semalam. Filem yang mengungguli jualan tiket terlaris sejak kaunter atas talian dibuka semalam adalah Digimon Adventure: Last Evolution Kizuna," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, pihak pawagam masih mengekalkan harga tiket sama seperti sebelum krisis Covid-19 melanda di samping beberapa promosi menarik.

"Harga tiket masih lagi dikekalkan, tapi kami berikan promosi tiket berharga RM5 untuk filem-filem yang pernah ditayangkan dan ditayangkan semula bermula hari ini sehingga penghujung Julai.

"Selain itu, kami juga berikan tayangan percuma untuk filem Jumanji: The Next Level sepanjang hari ini di semua cawangan GSC di seluruh negara," katanya.

Sementara itu, penonton, Nuradriana Yasmin, 19, teruja dan memang menantikan pengumuman untuk pawagam dibenarkan beroperasi semula.

"Saya sangat teruja kerana sudah tiga bulan tak dapat menonton wayang. Jadi, hari ini saya menonton filem Digimon Adventure: Last Evolution Kizuna dan malam ini, akan tonton satu lagi filem," katanya.

Ditanya mengenai SOP yang perlu diikuti, Nuradriana berkata, itu adalah satu proses yang perlu untuk memastikan keselamatan semua pihak.

"SOP itu sebenarnya bagus kerana kalau boleh kita semua nak pastikan semua yang menonton berada dalam keadaan selamat," katanya.

Seorang lagi penonton, Asrori Iwan, 24, berkata, SOP yang ditetapkan itu tidak menjadi satu masalah dan perlu diikuti oleh semua.

"Bagi saya secara peribadi, ia bukanlah sesuatu yang menyusahkan kerana SOP yang dibuat itu adalah untuk keselamatan semua.

"Kita masih belum berjaya menghapuskan Covid-19. Jadi, dengan adanya SOP ini, sedikit sebanyak membuat kita lebih berhati-hati," katanya.

Antara SOP yang ditetapkan pihak GSC adalah dengan menggalakkan penonton memakai pelitup muka, menyahkuman dewan pawagam dan tempat duduk serta melakukan penjarakan sosial antara tempat duduk dari semua arah.

Tempat duduk pasangan (couple seat) juga hanya dibenarkan untuk seorang pelanggan sahaja.

ANTARA pengunjung yang hadir untuk menonton wayang di pawagam GSC Mid Valley. FOTO Eizairi Shamsudin
ANTARA pengunjung yang hadir untuk menonton wayang di pawagam GSC Mid Valley. FOTO Eizairi Shamsudin

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2020 @ 7:07 PM