BABAK filem Kakekomi.
BABAK filem Kakekomi.
POSTER  Festival Filem Jepun.
POSTER Festival Filem Jepun.
Oleh Michelle Gun

Penganjuran Festival Filem Jepun (JFF) 2015 kembali untuk tahun ke-12 menghangatkan pawagam Golden Screen Cinemas (GSC) dengan 13 karya hebat dari negara matahari terbit itu kepada peminatnya di Malaysia.

Memulakan tayangan Khamis ini, filem yang menjadi pertaruhan JFF tahun ini adalah Kakekomi, Our Little Sister, Unsung Hero, Our Family, Bolt from the Blue, Blindly in Love dan Tamako in Moratorium.

Enam lagi filem yang turut menyerikan pesta ini, My Little Nightmare, Tokyo Losers, Petal Dance serta animasi The Adventures of Tyrano Boy, Initial D the Movie Legend 2: Racer dan Mobile Suit Gundam: The Origin I - Blue-Eyed Casval.

Istimewanya, pengarah terkenal Masato Harada akan berada pada majlis pelancaran JFF 2015 di GSC Pavilion, esok untuk memperkenalkan filem arahannya, Kakekomi.

Berlatarkan suasana Jepun pada era pemerintahan feudal, Kakekomi mengisahkan seorang doktor yang membantu wanita bercerai untuk menjalani hidup baru walaupun mendapat tentangan daripada pelbagai pihak.

Filem berkonsepkan drama samurai itu menerima sambutan hangat di Jepun sejak ditayangkan empat bulan lalu.

Filem JFF 2015 hanya ditayangkan di tiga pawagam GSC terpilih di Midvalley, Pavilion Kuala Lumpur dan 1 Utama. Tayangan bermula pada 10 sehingga 16 September ini.

Manakala peminat di Pulau Pinang boleh menyaksikan filem JFF di GSC Gurney Plaza mulai 17 hingga 20 September ini, Kota Kinabalu (24 hingga 27 September) dan Kuching (1 hingga 4 October).

Maklumat lanjut mengenai JFF 2015 boleh layari laman web www.jfkl.org.my dan www.gsc.com.my.

Tiket percuma tonton filem JFF

Berita baik untuk pembaca bertuah Harian Metro berpeluang menyaksikan filem JFF 2015 secara percuma.

Pembaca hanya perlu membawa artikel ini untuk menukarkannya dengan dua pas percuma di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur bermula jam 11 pagi, esok. Setiap orang hanya dibenarkan membawa maksimum dua keratan artikel ini saja berdasarkan siapa cepat dia dapat.

Tiket percuma ini boleh digunakan untuk menyaksikan mana-mana filem JFF, namun tidak termasuk Initial D the Movie Legend 2: Racer dan The Adventures of the Tyrano Boy.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2015 @ 10:22 AM