Sharifah Shahirah tidak kisah sekiranya selepas ini namanya digam. FOTO arkib NSTP
Sharifah Shahirah tidak kisah sekiranya selepas ini namanya digam. FOTO arkib NSTP
Sudirman Mohd Tahir


PELAKON dan pengacara, Sharifah Shahirah tidak kisah sekiranya selepas ini namanya digam stesen televisyen AlHijrah ekoran tindakan suaminya Ijoy memfailkan saman terhadap stesen TV itu pada Khamis lalu.

Shahirah atau lebih mesra disapa Shira berkata, dia menyokong tindakan suaminya itu dan percaya rezeki ada di mana-mana.

"Saya tidak terfikir langsung soal nama akan digam atau tidak. Namun sekiranya perkara itu berlaku kepada saya, tidak mengapa.

"Bagi saya rezeki ada di mana-mana. Jadi saya tak perlu takut pun. Kalau mereka tak nak tawarkan saya pekerjaan, saya okey saja.

"Cuma sebagai isteri saya tetap mempertahankan tindakan suami. Ada sebab kenapa dia berbuat sedemikian. Orang kata berani kerana benar," katanya kepada Harian Metro.

Dalam masa sama, Shirah menjelaskan tindakan suaminya memfailkan saman adalah untuk menuntut hak atas kerja yang sudah dijalankan sebelum ini.

"Suami hanya menuntut haknya. Adakah itu salah?

"Disebabkan sudah tidak ada cara lain, jadi suami mengambil keputusan membawa perkara ini ke peringkat undang-undang. Suami bukannya suka-suka nak saman," katanya.

Terdahulu pada Khamis lalu, syarikat penggambaran M A Pictures Sdn Bhd milik Ijoy memfailkan saman terhadap syarikat penyiaran televisyen AlHijrah Media Corporation (AlHijrah) menuntut pembayaran kerja produksi yang tertunggak berjumlah RM265,600.

Tuntutan Ijoy itu membabitkan pembayaran rakaman program bual bicara 26 episod bertajuk Maqasid Syariah - PNB yang dijalankan pada 29 Oktober 2015.

Berita berkaitan

'Ijoy saman stesen AlHijrah'

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2017 @ 5:11 PM