Ayda Jebat

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Selamat berhujung minggu kepada anda. Siapa yang berkesempatan menyaksikan Temasya Sukan SEA Ke-29 yang dirasmikan semalam? Sila angkat tangan!

Adik hanya sempat menonton di televisyen saja. Memang meriah dan berlangsung dengan gemilang #KL2017 kali ini.

Menghimpunkan kehadiran paling ramai juara dunia dan pemenang pingat Olimpik yang mencipta nama dalam tempoh dua tahun lalu untuk membawa temasya rantau ini ke tahap lebih mantap. Hebat kan?

Siapa sangka selepas 16 tahun, temasya dwitahunan ini kembali ke bumi Malaysia dengan Kuala Lumpur sebagai tuan rumah untuk kali keenam.

Seramai 4,900 atlet dihimpunkan dari 11 negara untuk memburu 404 pingat emas daripada 38 acara sukan. Semua berkampung di Kuala Lumpur.

Adik percaya rata-rata rakyat Malaysia pasti berdebar dan teruja untuk menantikan setiap keputusan rasmi buat kontinjen tanah air.

Apa tidaknya, adik yang sibuk menjalani sesi penggambaran drama Dekatkan Jarak Kita juga sebenarnya cuak setiap kali menunggu keputusan atlet negara kita. Kejap-kejap tengok laporan terkini pasukan media Unit Sukan tanah air langsung dari media sosial.

Khamis lalu, adik berpeluang menyaksikan perlawanan skuad memanah negara yang meraih pingat emas acara ‘compound’ berpasukan wanita dan lelaki.

Jujur adik berdebar menantikan keputusan yang bakal diraih skuad Malaysia, namun ternyata emas milik Malaysia. Tahniah buat atlet kita.

Menerusi acara itu, pasukan wanita Malaysia merangkul pingat emas selepas menewaskan Vietnam, 253-252 dalam perlawanan di Padang Sintetik, Majlis Sukan Negara di Bukit Jalil.

Manakala pasukan memanah ‘compound’ lelaki Malaysia menambah pingat emas selepas menewaskan Singapura 228-222.

Sebagai rakyat Malaysia, adik sangat bangga dengan kejayaan yang dilakar pasukan atlet negara.

Bahkan, Malaysia kini menduduki carta pertama dengan pungutan pingat emas paling banyak.

Adik doakan semoga atlet negara terus berjuang habis-habisan demi memastikan kejuaraan milik Malaysia.

Adik juga berharap seluruh rakyat terus memberikan sokongan padu kepada atlet negara kita supaya lebih banyak pingat emas diraih sebelum temasya ini berakhir.

Kita sama-sama berdoa agar sasaran 111 pingat emas yang ditetapkan di temasya Sukan SEA 2017 (KL2017) dapat direalisasikan.

Terlanjur bercerita mengenai sukan, adik sangat meminati sukan renang. Ini kerana ketika berusia 10 tahun adik pernah berdepan detik cemas apabila lemas ketika mandi-manda di kolam renang.

Memang adik sudah terkapai-kapai minta tolong untuk diselamatkan pada waktu itu sebab tak pandai berenang.

Nasib adik diselamatkan bapa saudara ketika itu. Selepas insiden itu, papa adik nekad hantar adik ke kelas renang.

Tak sangka, walaupun fobia dengan air tapi adik berjaya mengharungi rasa takut itu dan kini antara perenang terbaik dalam keluarga. Hehe!

Malah, adik juga pernah memenangi beberapa pertandingan sukan yang dianjurkan ketika di sekolah.

Apa pun, bagi adik sukan renang antara sukan yang sihat kerana dapat menjaga stamina terutama untuk pernafasan dalam nyanyian.

Selain itu, berenang juga boleh membantu menurunkan berat badan. Jadi kalau siapa nak kurus macam adik, jom kita pergi berenang bersama-sama.

Tapi, jangan lupa untuk ingatkan diri kena pakai baju yang senonoh, takut nanti nampak pulak lemak-lemak badan. Hahaha.

Baiklah, sebelum mengakhiri coretan tulisan adik minggu ini, adik mohon seluruh rakyat tidak kira lelaki atau wanita supaya terus menyokong sukan SEA 2017.

Ayuh kita #BangkitBersama demi rasa cinta dan kasih terhadap bumi yang paling dicintai, Malaysia. #ILoveYouMalaysia

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2017 @ 2:29 AM