KIAN Wah bersama Traisy (kanan), Zhao Wei dan Loh Zhiayi (kiri) pada sidang media Perhimpunan Atlet Kita Juara Fasa 2.
KIAN Wah bersama Traisy (kanan), Zhao Wei dan Loh Zhiayi (kiri) pada sidang media Perhimpunan Atlet Kita Juara Fasa 2.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pernah bergelar Olimpian negara pada 2012, atlet terjun negara Traisy Vivien Tukiet (gambar) bertekad untuk kembali menguasai kolam renang.

Kelibatnya dalam skuad negara semakin suram berikutan kecederaan dialami sehingga menyebabkan namanya diketepikan daripada menyertai banyak kejohanan, Traisy kini bangkit dengan semangat baru.

Pernah menyumbangkan emas dalam acara 10m terjun seirama bergandingan bersama Leong Mun Yee ketika beraksi di temasya Sukan SEA Singapura, Traisy bagaimanapun mengakui sukar untuk mendapatkan tempat dalam skuad utama negara.

Namun itu tidak pernah melunturkan semangatnya untuk kembali berjuang bagi mendapat kembali kepercayaan ketua jurulatih Yang Zhuliang.

“Saya baru kembali menjalani latihan kerana baru pulih daripada kecederaan dan fokus utama saya ketika ini adalah untuk memberi terjunan terbaik ketika sesi pemilihan ke Sukan SEA nanti.

“Ketika ini saingan antara rakan pasukan amat sengit terutama dalam acara 10m platform kerana kita mempunyai ramai atlet terbaik seperti Pandelela Rinong, Nur Dhabitah Sabri, Cheong Jun Hoong dan ramai lagi jadi agak susah juga bagi saya,” katanya yang bergelut dengan kecederaan pergelangan kaki dan tangan selepas tamat temasya Olimpik London.

Sementara itu pengurus pasukan terjun negara, Siow Kian Wah berkata, beliau menaruh keyakinan tinggi terhadap keupayaan atlet negara menyapu bersih emas dipertandingkan.

Membariskan barisan atlet bertaraf dunia skuad terjun negara dilihat tidak berdepan masalah menyapu bersih 13 pingat emas dipertandingkan pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2016 @ 10:15 AM