SEGELINTIR artis kurang dapat tawaran bukan sebab tudung di kepala.
SEGELINTIR artis kurang dapat tawaran bukan sebab tudung di kepala.
Ramlah Zainal


Bagaikan sudah menjadi trend dalam bidang hiburan tanah air apabila ramai artis wanita popular tampil berhijab dan menceburi bisnes berkaitan produk Muslimah ketika ini.

Malah, selepas berhijab nama mereka semakin laris dan rezeki juga tidak pernah putus dalam bidang seni.

Antara artis popular yang semakin laris selepas berhijab ialah Datuk Siti Nurhaliza, Neelofa, Rozita Che Wan dan Erra Fazira.

Kolum Cuit Sikit Bling! minggu ini menemu bual barisan artis untuk berkongsi pandangan mereka mengenai isu ini.

Rata-rata mereka mengakui selepas berhijab, nama seseorang artis itu semakin laris dan popular sama ada dalam bidang seni mahupun produk bisnes Muslimah diceburi.

Namun, ada juga segelintir artis yang mendakwa nama mereka semakin suram dan kurang mendapat tawaran berlakon selepas berhijab.

Rozita Che Wan

“Bagi saya rezeki dalam bidang seni bukan sebab artis itu bertudung atau tidak kerana semuanya adalah dari Allah SWT.

Rezeki seseorang artis itu juga bergantung kepada bagaimana mereka menjenamakan diri apabila sudah berhijab. Selepas berhijab, artis perlu tampil lebih menarik dan tidak selekeh.

Alhamdulillah, rezeki saya tidak putus apabila berhijab. Cuma apabila kita sudah berusia bukan semua produk dan watak sesuai untuk dilakonkan.

Bagaimanapun, orang lebih menghormati kita apabila sudah berhijab. Apabila kita memutuskan untuk tampil berhijab kerana Allah, insya-Allah kita akan lebih istiqamah. Oleh itu, tidak ada alasan untuk kita menipu diri sendiri dan sebagainya untuk berhijab.

Pada pandangan saya, segelintir artis yang berhijab kurang dapat tawaran berlakon bukan sebab tudung di kepala tetapi mungkin kerana kurang berdoa dan berusaha.”

Siti Nordiana

“Selepas berhijab, rezeki semakin murah dan saya juga sudah tahu hala tuju dalam industri seni tanah air.

Jika sebelum ini, saya hanya fokus pada undangan persembahan saja tapi sekarang cabang rezeki dalam bidang seni semakin berkembang dengan tawaran menjadi model tudung dan fesyen Muslimah.

Secara peribadi, saya berasa lebih tenang selepas berhijab. Apabila kita perbaiki hubungan dengan Allah, apa jua gosip, dugaan dan kritikan dalam bidang seni dilihat dari sudut yang positif.

Saya juga memiliki lebih ramai kawan, peminat dan pengikut di laman Instagram juga meningkat selepas berhijab.

Jika dulu, saya hanya menyanyi lagu cinta tapi sekarang juga selitkan lagu kerohanian dalam persembahan.

Rezeki saya juga murah selepas program Gegar Vaganza dan niat saya menyertai program itu bukan untuk mengejar glamor sebaliknya ingin membantu keluarga.

Bagi artis yang kurang dapat tawaran berlakon atau persembahan selepas berhijab, mungkin belum rezeki mereka.

Jangan berputus asa sebaliknya banyak berdoa, usaha dan tawakal, insya-Allah rezeki mereka ada dalam bidang seni.”

Catriona Ross

“Bagi saya tiada beza antara artis berhijab atau sebaliknya. Produser dan pengarah drama kini lebih menitikberatkan artis yang berdisiplin untuk beraksi dalam projek drama terbitan mereka.

Pengarah sekarang sangat kreatif dan terbuka. Ada babak yang dirasakan kurang sesuai akan dibuat mengikut batasan artis berhijab sendiri berdasarkan perbincangan kedua-dua pihak.

Saya juga mengharapkan tiada produksi drama yang meminggirkan artis berhijab. Mungkin ada artis berhijab pernah menyuarakan keinginan untuk berehat dari bidang seni sebab itu tawaran berlakon juga terhenti.

Ada segelintir pihak yang mempertikaikan artis tidak berhijab menceburi bisnes tudung tapi saya lebih terbuka dan melihatnya dari sudut positif.

Bagi saya tiada salahnya kerana mungkin apa yang mereka lakukan itu menjadi titik permulaan untuk penghijrahan artis berkenaan.”

Yana Samsudin

“Selepas berhijab, rezeki semakin mencurah dalam bidang lakonan, pengacaraan, drama bersiri dan projek filem. Antaranya program Bismillhadduha untuk Astro Oasis dan The Wow Show untuk TV3.

Ia juga mencetus idea buat saya dan rakan kongsi menghasilkan satu lagi cabang bisnes pakaian jenama Ayana by Yana Samsudin sejak tiga tahun lalu. Selain itu, saya juga diundang sebagai moderator dan penceramah motivasi.

Bagaimanapun, rezeki berkaitan dengan usaha dan anugerah Allah. Kita kena mencarinya dengan kembangkan bakat dan benda baru.

Jika artis yang berhijab berasa kurangnya rezeki dalam bidang seni, kita kena berkongsi dengan bersedekah dan Insya Allah rezeki akan berganda.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2017 @ 9:26 AM