NEELOFA fokus pada karier seni dan bisnes.
NEELOFA fokus pada karier seni dan bisnes.
NEELOFA meraikan ulang tahun ke-26 bersama kelab peminatnya.
NEELOFA meraikan ulang tahun ke-26 bersama kelab peminatnya.
NEELOFA meraikan ulang tahun ke-26 bersama kelab peminatnya.
NEELOFA meraikan ulang tahun ke-26 bersama kelab peminatnya.
Oleh Ramlah Zainal


Usianya genap 26 tahun pada 10 Februari lalu. Namun, bagi pelakon dan pengacara popular, Neelofa pada usia sekarang, fokus dan keutamaannya masih pada karier seni dan mengembangkan bisnes sedia ada.

Malah, pengacara TV Wanita Popular, pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2013 dan pemilik nama sebenar, Noor Neelofa Mohd Noor ini mengakui masih banyak impian yang belum dicapai dalam hidupnya.

“Saya akui selepas berhijab pada tahun lalu, hidup saya lebih tenang dan bahagia serta apa yang dirancang termasuk dalam bisnes juga berjalan lancar. Saya juga tidak berasa nama merudum kerana pada pemerhatian saya, populariti semakin meningkat selepas tampil berhijab.

“Rata-rata peminat di laman sosial Instagram juga memberikan maklum balas positif dan memberitahu mereka lebih menyukai penampilan saya selepas berhijab sekarang,” katanya.

Walaupun sudah berhijab, ia bukan bermaksud pelakon jelita berdarah Pakistan dan Arab, kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini ingin membataskan karier seninya sekarang.

“Terus terang, saya berasa rindu untuk kembali berlakon semula pada tahun ini. Buat masa ini, saya mempertaruhkan lima projek telefilem terlebih dulu selepas dua tahun tidak berlakon.

“Saya juga tidak letak sebarang syarat pada produser atau pengarah yang ingin mengambil saya berlakon kerana percaya mereka juga sudah faham dengan batas yang ada apabila bekerja dengan pelakon yang sudah berhijab,” katanya.

Antara drama dan filem lakonannya ialah Kasih Najihah, Tahajud Cinta, Kitab Cinta, Jiwa, Lara, Kau Yang Terindah, Azura, Hantu Kapcai dan Lemak Kampung Santan.

Neelofa ditemui pada majlis sambutan hari lahir ke-26 dan penghargaan media bersama Airish Fashion Cosmetics yang berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur, kelmarin.

Bercerita lanjut mengenai perniagaan diceburi, pengacara program Meletop ini mengakui dia merancang untuk mengembangkan empayar perniagaannya itu.

“Saya sangat bersyukur kerana menerusi perniagaan ini saya dapat membantu seluruh ahli keluarga untuk menjadi stokis di serata tanah air. Semuanya berkat rezeki selepas berhijab,” katanya.

Sepanjang lima tahun terbabit dalam perniagaan, Neelofa sudah memiliki empat rangkaian perniagaan iaitu produk kecantikan Bellavita, Naelofar Abaya, Bokkita Hijab dan Lofalens.

Dalam perkembangan lain, Neelofa bakal bergandingan dengan Datuk AC Mizal, Nabil Ahmad dan kumpulan Jozan (Zizan Razak dan Johan) sebagai hos Anugerah Meletop Era 2015 yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil pada 22 Februari ini.

Tidak terdesak untuk berkahwin

Selepas putus cinta dengan pelakon kacak, Hans Isaac, namanya kembali diperkatakan peminat dipersada hiburan tanah air apabila gosip dirinya didakwa dilamar kerabat diraja pula ketika ini.

Walaupun sering diasak persoalan sama, Neelofa tetap mengunci mulutnya kerana menganggap perkara itu terlalu sensitif.

“Ia membabitkan golongan kerabat dan saya tidak mahu kenyataan yang dikeluarkan menjadi negatif dan memburukkan lagi keadaan,” katanya.

Apapun, Neelofa menegaskan dia tidak mempunyai sebarang perancangan untuk mendirikan rumah tangga pada tahun ini.

“Saya tidak mempunyai teman istimewa buat masa ini. Fokus saya pada tahun ini hanya pada kerjaya dan perniagaan. Saya juga tidak mempunyai teman istimewa lagi.

“Soal jodoh pula, saya serahkan kepada ketentuan Allah. Kalau ada jodoh adalah. Buat masa ini, saya akan teruskan kehidupan seperti biasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Februari 2015 @ 5:04 AM