Oleh Ramlah Zainal


Selepas berhijab, pelakon popular Elfira Loy seakan-akan sengaja memperlahankan aktiviti seninya. Malah boleh dikira drama lakonannya bersiaran di kaca televisyen.

Bagi pemilik nama sebenar, Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri yang mencipta nama menerusi drama Biar Mimpi Sampai Ke Bintang, dia memperlahankan kerjaya lakonan kerana mahu fokus dengan pengajian di Kolej Universiti KDU.

“Saya baru saja tamat pengajian Diploma Seni Hiburan dan berhasrat kembali berlakon bagi mengubati kerinduan peminat.

“Maklumlah, bidang lakonan sudah sebati dengan diri. Cuma saya bimbang diri tidak lagi relevan dalam bidang ini apabila sudah berhijab.

“Saya kena memilih watak sesuai dengan penampilan. Sebelum ini saya masih ada terima tawaran berlakon, tetapi bukan watak utama,” katanya.

Ujar Elfira lagi, dia tidak akan menjayakan babak bersentuhan dengan pelakon lelaki dalam drama.

“Setakat ini, penerbit dan pengarah menghormati pendirian saya. Mereka akan pastikan tiada babak berpegangan dengan lelaki jika ambil saya berlakon.

“Saya akui watak agak terbatas selepas berhijab dan tidak mahu menyusahkan produksi. Apapun, saya tidak sedikit pun menyesal kerana percaya ada rezeki lain yang menanti,” katanya.

Bagaimanapun, kata Elfira sudah sampai masa dia menumpukan perhatian pada bidang pengacaraan yang diminatinya sejak dulu.

Antara program yang pernah diacarakan sebelum ini ialah Mad Market dan Tua Pun Boleh untuk siaran Astro.

“Saya lebih selesa mengacara kerana tiada babak bersentuhan dengan lelaki seperti dalam lakonan.

“Harap ada banyak tawaran mengacara selepas ini,” katanya yang ditemui pada majlis sambutan ulang tahun ke-10, Rizman Ruzaini di Muzium Negara, baru-baru ini.

Masih rapat dengan Baim Wong

Sehingga kini ramai tertanya-tanya sejauh maha hubungan Elfira dengan pelakon dari seberang, Baim Wong yang hangat diperkatakan sebelum ini.

Pernah bergandingan dalam telefilem Untuk Terakhir Kali, Elfira mengakui Baim adalah lelaki paling rapat dengannya ketika ini.

“Saya tak boleh mengiakan atau sebaliknya hubungan kami. Kalau bercinta pasti berhubung setiap hari, namun sebaliknya yang berlaku.

“Sudah beberapa bulan kami tidak berjumpa. Memang dia ada hubungi saya untuk bertanya perkembangan kafe milik saya, Love Me 7 sebelum ini.

“Maklumlah, saya banyak minta nasihat daripada Baim kerana dia mengusahakan kafe di Jakarta,” katanya.

Ditanya mengenai perkembangan bisnesnya itu, Elfira berkata, dia bersyukur kerana mendapat sambutan menggalakkan.

“Alhamdulillah, setakat ini operasi berjalan lancar dan ramai juga pelanggan berbangsa Cina,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2015 @ 11:11 AM