Tanpa memandang rupa paras, warna kulit, sejarah kesihatan dan latar belakangnya, Sunny Leone dan suami, Daniel Weber mengambil anak angkat perempuan dari Latur di Maharashtra, bulan lalu.

Kanak-kanak perempuan berusia dua tahun itu dinamakan Nisha Kaur Weber.

Sebenarnya, Sunny bukanlah orang pertama ditawarkan anak angkat oleh pusat agensi anak angkat.

Sebelum ini sudah 11 keluarga datang melihat Nisha, namun kerana dia berkulit gelap dan wajahnya tidak comel membuatkan mereka enggan mengambilnya.

Bagaimanapun, berbeza dengan Sunny dan suami, mereka terus bersetuju menjadikan kanak-kanak itu anak mereka.

Menurut wakil pihak CARA, pasangan itu memohon mengambil anak angkat dengan agensi itu pada 30 September tahun lalu dan mereka mengikut prosedur biasa.

“Apabila saya tunjukkan kanak-kanak itu kepada mereka pada 21 Jun lalu, mereka perlu memberikan keputusan dalam masa 48 jam. Keesokan harinya mereka datang jumpa saya untuk menyatakan persetujuan.

“Kanak-kanak itu sangat bertuah. Sekarang Sunny sedang menunggu untuk mendapat surat pengesahan anak angkat daripada mahkamah,” katanya.

Sementara itu, Sunny berkata, dia dan suaminya memang sudah bersedia dari segi fizikal, mental dan kewangan.

“Kami akan membesarkan Nisha dengan sempurna dan akan menyayanginya seperti anak kandung sendiri,” katanya.

Sunny dan Daniel berkahwin pada 2011 tetapi belum dikurniakan cahaya mata.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2017 @ 3:48 AM