HIMPUNAN Think & Learn yang menyokong pendidikan awal STEM
HIMPUNAN Think & Learn yang menyokong pendidikan awal STEM
Intan Mas Ayu Shahimi


Melihat telatah anak leka mengejar permainan berwarna-warni, berjoget saat mendengar muzik rancak dan mengulang kembali sebutan memang mengujakan. Sesekali ibu turut serta bertepuk tangan melihat reaksi si manja.

Bermain ialah fitrah dan hak anak yang perlu dipenuhi dengan memberi ruang dan masa selayaknya untuk mereka meneroka dunia sekeliling dengan keupayaan serta kehendak sendiri. Malah bermain juga sangat berkait rapat dengan fungsi otak, pembentukan emosi dan sikap anak.

Baru-baru ini, syarikat pengeluar mainan pembelajaran, Fisher Price memperkenalkan empat koleksi alat permainan menarik, sesuai untuk bayi dan kanak-kanak.

Tidak pernah gagal membawakan pilihan menarik yang bersifat interaktif, setiap permainannya sarat dengan ciri-ciri pembelajaran, menyokong kehendak serta perkembangan bayi mengikut usia.

Menurut Pengarah Pendidikan Awal Kanak-kanak Fisher Price, Dr Deborah Weber, bermain sebenarnya boleh merangsang perkembangan otak, fizikal, sensori dan motorik bayi.

“Setiap bayi dilahirkan dengan sifat ingin tahu dalam diri. Mereka gemar mencuba sesuatu yang baru di sekeliling mereka. Menerusi permainan, mereka belajar meneroka dunia dengan imaginasi yang menakjubkan.

“Andai diperhatikan secara dekat, permainan yang kerap menjadi pilihan kanak-kanak sejak usia bayi biasanya memberi impak terhadap cara mereka mengekspresikan imaginasi. Itu antara sebab mengapa kita sentiasa komited untuk menghasilkan permainan untuk pembelajaran kanak-kanak,” katanya.

DR Deborah
DR Deborah

Jelas Dr Weber, sejak syarikat itu ditubuhkan pada 1930, semua kakitangan bekerja keras membuktikan bahawa mereka mampu menghasilkan permainan yang selamat, tahan lama dan berkualiti tinggi.

“Bagaimanapun, hanya kanak-kanak yang layak untuk menentukan tahap keseronokan semua permainan yang kami hasilkan. Untuk itu, kita wujudkan makmal permainan yang beroperasi sepanjang tahun, menguji 127,000 bayi dan kanak-kanak prasekolah serta 1,700 ibu bapa dalam percubaan permainan.

“Semua responden ini akan diperhati untuk melihat bagaimana mereka bermain dan apa jenis permainan yang disukai. Lebih menarik, Play Lab juga membolehkan kami menentukan gred usia untuk produk, sekali gus memastikan penghasilan permainan menyeronokkan serta menyokong perkembangan pembelajaran kanak-kanak,” katanya.

Ganti gajet

Ketika ramai ibu bapa hari ini mula menyatakan kebimbangan mereka terhadap masalah ketagihan anak pada gajet, Dr Weber menyarankan pilihan alat permainan interaktif sesuai dengan perkembangan dan umur bayi hingga menginjak usia persekolahan.

“Melalui kajian yang dilakukan, kita mengambil keputusan mencipta jenis permainan yang menyeronokkan, bukan saja untuk kanak-kanak tetapi menarik ibu bapa untuk turut serta bermain bersama anak.

“Paling penting, ia bukan sekadar permainan yang menghiburkan, malah berupaya membantu merangsang perkembangan anak bermula dari umur bayi sehingga awal persekolahan,” katanya.

Tambah Dr Weber, sama seperti belajar di sekolah, tempoh bermain juga penting. Ketika bermain, ibu bapa boleh melihat sendiri perkembangan anak kecil dan bagaimana mereka membina daya kreativiti sendiri.

“Namun, senario hari ini memperlihatkan situasi kurang sihat. Akibat perkembangan teknologi dunia hari ini, ibu bapa dilihat dengan mudah memberikan telefon pintar kepada anak-anak. Ini secara tidak langsung menyekat perkembangan anak untuk mempamerkan daya kreatif mereka.

“Lebih mengecewakan, ibu bapa juga dilihat seolah-olah tidak peduli dengan apa yang ditonton anak kecil menerusi skrin telefon,” katanya.

Biarpun demikian, Dr Weber menjelaskan, dia bukanlah menolak bentuk pendedahan kanak-kanak terhadap perkembangan teknologi kini, penggunaan gajet atau skrin tablet.

“Zaman ini, kita tidak boleh mengatakan bahawa gajet dilarang sama sekali. Ia mungkin sukar untuk dilakukan. Jadi, ibu bapa masih boleh memberi telefon bimbit kepada anak, tapi cuba hadkan masa penggunaannya. Tetapkan juga laman web tertentu saja yang boleh dilawati.

“Pada masa sama, ibu bapa boleh memuat turun aplikasi permainan yang menguji minda anak-anak di dalam telefon. Pastikan ada pemantauan, had dan disiplin. Kita tidak mungkin dapat lari daripada realiti (perkembangan teknologi dan media sosial), namun ibu bapa mempunyai banyak pilihan untuk menggantikan gajet dengan permainan menarik yang boleh mencuri tumpuan anak-anak,” katanya.

SESI dialog bersama ibu bapa mengenai pentingnya kanak-kanak bermain.
SESI dialog bersama ibu bapa mengenai pentingnya kanak-kanak bermain.

Carta perkembangan

Dalam kes tertentu, ibu bapa mengeluh apabila alat permainan yang dibeli hanya menarik minat anak buat seketika. Selepas seminggu, anak hilang kecenderungan untuk bermain dan akhirnya terbiar begitu saja.

Kata Dr Weber, keadaan itu selalu berlaku apabila ibu bapa membeli alat permainan tanpa mempertimbangkan faktor perkembangan usia dan minat anak.

“Di makmal, kita merujuk carta perkembangan khusus yang digunakan untuk pengelasan permainan. Ia penting untuk ibu bapa mengenal pasti permainan yang bersesuaian usia anak serta membantu perkembangan mereka.

“Begitupun, ia tetap tidak boleh dijadikan rujukan sepenuhnya memandangkan setiap kanak-kanak berkembang mengikut tahap yang berbeza dan mencapai tahap tertentu pada waktu berbeza.

“Ini seiring dengan peringatan pada era kemajuan teknologi kini. Adalah normal menyaksikan kanak-kanak di meja makan bersama telefon pintar atau tablet, ditemani orang dewasa yang sibuk berbual atau melayani telefon pintar, tetapi penggunaan gajet perlu dihadkan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Weber turut menekankan kepentingan perkembangan kaedah STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik) dalam perkembangan awal kanak-kanak masa kini.

Katanya, kaedah STEM berupaya menarik perhatian kanak-kanak untuk menumpukan pemikiran aktif dan sistematik, menajamkan kemahiran berfikir secara kritis serta mengasah kemahiran menyelesaikan masalah.

“Ia memainkan peranan penting dalam membantu kanak-kanak membina karakter kompetitif bersifat global dan bersedia untuk menggapai karier teknikal dan kreatif di masa depan.

“Untuk memenuhi keperluan perkembangan pendidikan awal STEM, kita perkenalkan Think & Learn. Ia alat permainan yang menggabungkan kaedah STEM dan sistem asas teknologi pembelajaran.

“Bagi alat permainan Code-A-Pillar umpamanya, ia mempunyai sembilan segmen mudah cantum yang boleh disusun semula kanak-kanak usia pra-sekolah dengan cara ‘mengarahkan’ permainan untuk bergerak sama ada maju ke depan, kiri, kanan, bergoyang, menari atau berhenti untuk beberapa saat sebelum kembali bergerak.

“Apapun, pembabitan ibu bapa pada awal kehidupan anak-anak sangat penting. Ikut anak bermain dan saksikan sendiri perkembangan awal mereka. Dalam dunia serba moden kini, penting untuk kanak-kanak mengembangkan kemahiran menyelesaikan masalah dan tiada cara yang terbaik melainkan menerusi waktu bermain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Julai 2018 @ 3:37 PM