HERMAN Tino masih sayang dunia nyanyian.
HERMAN Tino masih sayang dunia nyanyian.
Ridzuan Abdul Rahman


Era 80-an menyaksikan industri seni hiburan tempatan digegarkan dengan suara anak muda berketurunan Jawa bernama Masrun Tamsi atau nama komersialnya Herman Tino menerusi lagu berkonsep Melayu Asli yang meruntun jiwa.

Tidak dinafikan kehebatan lagu Mengapa Dikenang Mengapa Difikir, Pelita Dalam Kabus, Derma Bukan Tontonan dan banyak lagi lagu dendangannya mencetuskan fenomena dalam kalangan peminat ketika itu.

Masa terus berlalu dan berita mengenai Herman sudah agak jarang dipaparkan di media massa sehingga ada yang menyangkakan dia sudah bersara.

Herman, 63, sebenarnya masih aktif menyanyi dan tidak pernah mengucapkan selamat tinggal kepada dunia seni.

“Saya belum bersara dan tak putus-putus ditawarkan menyanyi di sana sini. Saya hanya tahu menyanyi dan sekiranya orang nak ambil tahu mengenai saya, dipersilakan.

“Begitu juga kalau wartawan nak menulis cerita saya, dipersilakan dan sekiranya tak sudi pun saya tak marah. Saya hanya jujur mahu menyanyi dan sama ada saya dapat perhatian peminat atau media, itu bukan kuasa saya untuk menentukannya,” katanya.

Menurut Herman, prinsipnya sejak mula-mula menyanyi terus kekal sehingga ke hari ini dan ia memudahkan perjalanan kariernya.

“Saya menyanyi bukan kosong kerana setiap bait lirik mempunyai makna dan tujuan tertentu. Seorang penyanyi adalah periwayat kerana seni kata yang dinyanyikan membawa suara individu, masyarakat, pemimpin dan ramai lagi.

“Saya tak fikir yang saya harus dijulang atau dipandang taasub oleh peminat. Saya hanya nak menyanyi dan jika ada harga yang sesuai, bayarlah dan jika tiada bayaran, memadailah dengan senyuman. Namun, untuk minta simpati saya malu kerana saya bukan menyanyi untuk tujuan minta simpati. Jika begitu baiklah saya nilaikan diri saya dengan harga profesional tapi itu bukan caranya,” katanya.

Sememangnya Herman insan unik kerana ketika artis lain sibuk memanfaatkan laman sosial untuk mempromosikan diri, dia pula sebaliknya.

“Saya masih lagi berfahaman lama. Kalau nak tahu, sejak mula menyanyi sampailah sekarang, saya tak pernah ada pengurus. Malah, saya tak pernah suruh pegawai publisiti syarikat rakaman mempromosikan lagu saya.

“Segala-galanya saya serahkan kepada Allah. Kita ada TV3, Astro dan RTM di mana isteri saya sendiri kakitangan di situ tapi saya tak pernah ambil kesempatan. Niat saya hanya untuk hiburkan bangsa saya dan cari rezeki dengan kebolehan yang saya miliki,” katanya.

Lima album Herman pernah mencatat jualan tertinggi dan dia menerima penghargaan daripada syarikat rakaman.

“Itu bukan alasan untuk saya terima bayaran mahal. Cuma nak beritahu tiada anugerah lain daripada mana-mana pihak yang diterima sehingga kini.

“Saya sudah ada 10 album dan insya-Allah akan tampil dengan beberapa lagu baru selepas ini bersama kain pelikat kesembilan yang jadi ‘trademark’ saya. Ia sekadar lambang nyanyian dan bukan khurafat,” katanya.

Buat peminat yang merinduinya, Herman akan tampil pada Konsert Malam Nostalgia Legenda bersama 11 artis lain iaitu Jay Jay, Rahimah Rahim, Fredo, Datuk Yusni Hamid, Datin Paduka Julie Sudiro, V Sarangapani, Rozita Rohaizad, Shidee dan Aspalela Abdullah di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, esok, jam 8.30 malam.

“Saya amat bangga kerana persembahan kami akan diiringi Orkestra Kuala Lumpur. Ia satu penghormatan sepanjang karier saya. Ini kenangan yang akan saya simpan sampai bila-bila.

“Tak dinafikan, mengigil juga mulanya apabila diberitahu persembahan saya diiringi orkestra.

“Untuk persembahan ini, saya akan menyampaikan lagu Derma Bukan Tontonan, Di Sini Saja dan Warung Kopi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Mac 2018 @ 10:19 AM