Fizo harap semuanya berjalan lancar. FOTO fizomawar
Fizo harap semuanya berjalan lancar. FOTO fizomawar
Najiy Jefri


PELAKON dan ahli perniagaan Fizo Omar mengesahkan isterinya, Mawar Abdul Karim, 28, kini hamil dua bulan selepas empat tahun mendirikan rumah tangga.

Fizo, 32, ketika dihubungi berkata, dia bersyukur selepas isterinya mendapatkan rawatan dengan Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Dr Hamid Arshat dan menjalani pembedahan membuang ketumbuhan dalam rahim awal tahun lalu, impian mereka untuk bergelar ibu bapa bakal tercapai sedikit masa lagi.

"Sebelum mendirikan rumah tangga, saya sudah dimaklumkan mengenai penyakit Mawar yang mengalami kesakitan melampau setiap kali datang bulan. Disebabkan itu, kami mendapatkan rawatan dengan Dr Hamid bagi mengenal pasti punca penyakit itu .

"Selepas beberapa pertemuan, Mawar membuat keputusan untuk membuat pembedahan selepas mendapat nasihat doktor. Ini kerana jika ketumbuhan itu tidak dibuang Mawar mungkin sukar untuk hamil,” katanya.

Menurut Fizo, ketika isterinya memaklumkan sudah lama tidak datang bulan dan hasil pemeriksaan alat ujian kehamilan mendapati positif, dia masih tidak menaruh harapan.

Bagaimanapun, selepas doktor mengesahkan isterinya hamil, Fizo mengakui terbit satu perasaan yang sukar diungkapkan dengan kata-kata.

"Saya memang sudah lama menantikan saat ini. Saya bersyukur dengan kurniaan ini dan berharap semuanya berjalan lancar.

"Tempoh empat tahun bukan satu jangka masa yang pendek. Setiap hari saya berdoa diberikan rezeki untuk menimang cahaya mata. Allah itu maha kaya dan Dia beri saya rezeki dalam perniagaan terlebih dahulu dan tangguhkan seketika soal zuriat," katanya

Menurut Fizo, Mawar dijangka bersalin pada awal tahun depan dan meminta orang ramai terus mendoakan kesihatan Mawar.

Pasangan ini berkahwin pada 10 November 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mei 2017 @ 6:07 PM