FIZO melaungkan iqamat kepada bayi perempuannya.
FIZO melaungkan iqamat kepada bayi perempuannya.
Sudirman Mohd Tahir


Pelakon dan usahawan, Fizo Omar, 33, berkongsi pengalaman menyaksikan isterinya, Mawar Abdul Karim bersalin secara pembedahan pada 29 Disember lalu.

Mawar, 29, yang juga pengasas tudung Fareeda itu selamat melahirkan bayi perempuan dengan berat 2.78 kilogram.

“Saya tak tahu macam mana nak gambarkan perasaan ketika melihat sendiri Dr Hamid Arshat dan pembantunya ‘memotong’ perut isteri depan mata dan mengeluarkan anak kami yang ditunggu-tunggu sepanjang empat tahun berkahwin.

“Syukur saya diizinkan Allah untuk merasai fasa bernikah dan mempunyai zuriat. Walaupun mengharungi satu tempoh yang agak lama dan pada masa sama isteri melalui pelbagai cabaran untuk hamil.

“Lebih mengujakan apabila saya diberi peluang untuk masuk ke bilik bedah dengan menyaksikan isteri mengharungi setiap saat getir dan bertarung nyawa untuk melahirkan bayi sulung kami,” katanya.

Fizo yang juga penceramah motivasi berkata, dia turut bimbang ketika proses pembedahan dijalankan. Pada masa sama, perasaannya bercampur teruja untuk melihat wajah anak.

Apatah lagi impiannya untuk memiliki anak akhirnya dimakbulkan Allah.

“Sampai sekarang saya masih tak percaya apabila boleh berdiri dan menyaksikan proses pembedahan itu.

“Dalam kepala bukan memikirkan mengenai darah atau perut isteri yang ‘ditebuk’ itu, tetapi apa yang saya fikir dan bimbangkan adalah bagaimana keadaan anak. Ketika itu saya pula sudah tidak sabar nak melihat zuriat sendiri.

“Bukan saja empat tahun saya menunggu, malah sejak bujang saya memang tak sabar nak ada anak sendiri. Memiliki anak adalah impian utama saya dalam hidup,” katanya.

Fizo yang juga bekas pengacara program Nasi Lemak Kopi O berkata, dia menangis tatkala doktor menarik keluar kepala anaknya.

“Semasa melihat Dr Hamid menarik kepala anak keluar, tiba-tiba air mata mengalir dengan sendiri, tak terkata dan saya hanya terpaku.

“Saya macam tak percaya apabila kini bergelar ‘daddy’. Ia bermain di kepala sehinggakan saya tak ada kekuatan nak pegang anak sebaliknya hanya mampu melihat apa yang dibuat jururawat terhadap anak.

“Saya melihat bagaimana jururawat menepuk tapak kaki dan anak menangis. Lagi kuat anak nangis, lagi kuat air mata saya mengalir. Selepas itu, tibalah saat yang paling dinantikan iaitu iqamat di telinga anak saya,” katanya.

KETIKA proses kelahiran menerusi pembedahan.
KETIKA proses kelahiran menerusi pembedahan.

Menurut Fizo, dia juga mengambil keputusan untuk menjaga dan menguruskan sendiri bayi yang baru dilahirkan.

“Sepanjang dua bulan ini, saya berehat daripada segala aktiviti. Kalau boleh saya nak jaga dan urus sendiri anak. Saya tak nak ketinggalan setiap masa bersama anak.

“Bagi saya, pengalaman ini tidak boleh diulang kembali. Jadi, saya nak buat semua perkara. Walaupun tidak ada sebarang pengalaman, saya cuba untuk lakukan dengan tunjuk ajar daripada ibu dan ibu mentua,” katanya.

Mahu anak jadi jutawan

Ditanya adakah dia bakal mewujudkan akaun Instagram untuk anaknya seperti kebanyakan artis lain, Fizo menolak perkara itu.

Sebaliknya, Fizo memilih untuk membuka akaun simpanan dan pelaburan untuk masa depan anaknya.

“Saya mahu buka seberapa banyak akaun yang berbentuk simpanan wang. Saya sasarkan apabila anak berusia 20 tahun kelak, dia sudah bergelar jutawan.

“Bunyinya pelik, tetapi ini bukan angan-angan kosong kerana setiap keluarga perlu merancang masa depan anak-anak. Ia bukan kerana kami mampu tetapi kita kena konsisten menyim­pan atau melabur untuk anak,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Fizo berkata, mereka sekeluarga terbabit dengan program khas yang dibuat sejak Mawar disahkan hamil dan bakal ditayangkan di sebuah stesen TV.

Fizo berkata, program itu memaparkan proses awal kehamilan Mawar dan cara isterinya berinteraksi dengan bayi ketika dalam perut dan sehinggalah selamat bersalin.

“Syarikat saya Fizo Omar Creative juga turut menerbitkan program seakan-akan sama dan akan ditayangkan menerusi YouTube. Tayangan program ini serentak dengan program TV berkenaan bermula awal bulan depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2018 @ 12:06 PM