MUHAMMAD Rusly menunjukkan produk Abe Mat Kambing Perap. - Gambar NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
MUHAMMAD Rusly menunjukkan produk Abe Mat Kambing Perap. - Gambar NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: M&M Generation Resources Enterprise, pengusaha kambing perap 100 peratus milik Bumiputera merancang untuk membuka dapur pusat dalam usaha mengembangkan pasaran produknya di seluruh negara bermula tahun ini.

Pengasasnya Muhammad Rusly berkata, produk keluaran syarikat itu, Abe Mat Kambing Perap (AMKP) mula dijual pada 2021 dan mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Katanya, bermula secara kecil-kecilan di rumah, AMKP mempunyai penggemar daripada pelbagai peringkat umur kerana kelebihan resipi sendiri yang diolah mengikut maklum balas pelanggan.

"Tahun ini, kami akan meluaskan pasaran dengan melantik ejen dan stokis di setiap negeri selain memasuki pasaran kedai runcit dan Halal Mart.

"Buat masa ini, ejen AMKP ada di Selangor, Kelantan, Perak dan Johor, namun kami sasarkan setiap negeri akan mempunyai wakil dan modal untuk menjadi ejen hanya serendah RM500.

"Oleh itu, kami akan mengembangkan kapasiti pengeluaran dan merancang membuka dapur pusat bagi memenuhi permintaan," katanya kepada Bisnes Metro.

Beliau berkata, bermula separuh kedua tahun ini juga pihaknya akan menawarkan Pakej BBQ AMKP untuk sebarang acara keramaian dengan tempahan minimum 10 kilogram (kg).

"Pakej ini bukan kambing golek tetapi kita akan 'grill' kambing perap AMKP yang didatangkan lengkap bersama sos lada hitam serta 'coleslaw'.

"Kami sendiri akan turun padang memastikan kualiti dan kambing yang kami pilih bahagian 'shoulder' kerana lebih lembut dan senang dimakan menggunakan sudu," katanya.

Menurutnya, AMKP dijual pada harga RM58 untuk berat 1 kg (tujuh ke lapan keping) dan tahun ini juga syarikat akan mengeluarkan produk baru iaitu ayam perap.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2024 @ 6:00 AM